Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Pasangan "Sebagaimana...begitu juga" tergolong dalam kata apa dalam BM? Contoh ayat: Sebagaimana dengan ibunya yang mengabaikan keluarga, begitu juga dengan anaknya yang kurang ajar. Soalannya: Adakah "dengan" diperlukan selepas "sebagaimana"" Atau memadai setakat mengatakan "Sebagaimana ibunya yang mengabaikan keluarga, begitu juga dengan anaknya yang kurang ajar"? Terima Kasih. | Sebagaimana bermaksud sama halnya dengan, oleh itu tidak perlu lagi diikuti kata dengan. | Tatabahasa | 08.09.2011 |
Tuan, Bolehkah penggunaan antara dan sesama dalam satu ayat? Contohnya: Proses perkenalan antara sesama pasangan mestilah diusahakan .... Tidakkah menunjukkan kelewahan bahasa? | Frasa 'antara pasangan' lengkap dari aspek binaan frasa, iaitu kata sendi nama 'antara' diikuti kata nama 'pasangan'. Merujuk contoh yang diberikan, ayat tersebut boleh menjadi Proses perkenalan antara pasangan mestilah diusahakan atau Proses perkenalan sesama pasangan mestilah diusahakan. | Tatabahasa | 13.03.2012 |
Dalam pasangan ayat yang berikut, perkataan bergaris yang manakah yang tergolong sebagai adjektif dan adverba? Berikan alasan anda. 1(a) Bangunan tinggi itu bangunan KLCC. 1(b) Burung helang itu terbang tinggi. 2(a) Lelaki itu orang kuat. 2(b) Dia bercakap kuat. | 1(a) Bangunan tinggi itu bangunan KLCC. - adjektif dalam frasa nama bangunan tinggi. 1(b) Burung helang itu terbang tinggi. - adverba kerana menerangkan kata kerja terbang. 2(a) Lelaki itu orang kuat. - adjektif dalam frasa nama orang kuat. 2(b) Dia bercakap kuat. - adverba kerana menerangkan kata kerja bercakap. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 14.11.2012 |
Dalam pasangan ayat yang berikut, perkataan bergaris yang manakah yang tergolong sebagai adjektif dan adverba? Berikan sebab. 1(a) Bangunan tinggi itu bangunan KLCC. 1(b) Burung helang itu terbang tinggi. 2(a) Lelaki itu orang kuat. 2(b) Dia bercakap kuat. | 1(a) Bangunan tinggi itu bangunan KLCC. Ayat biasa - Bangunan tinggi itu (Subjek - Frasa nama) bangunan KLCC (Predikat - Frasa Nama) 1(b) Burung helang itu terbang tinggi. Tinggi - Adverba 2(a) Lelaki itu orang kuat. Lelaki itu (Subjek - Frasa Nama) orang kuat (Predikat - Frasa Nama) 2(b) Dia bercakap kuat. Kuat - Adverba Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 25.10.2012 |
wujud tak pasangan kata hubung walaupun.... tambahan pula/namun ? perilaku atau peri laku? | Walaupun, tambahan pula dan namun merupakan kata hubung pancangan keterangan yang berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada satu klausa utama. Ejaan yang betul ialah peri laku. | Tatabahasa | 20.03.2007 |
Ayat berikut yang mana betul 'dengan' atau 'pada'. 1. Bayi itu dijual dengan harga RM6,000 kepada pasangan... 2. Bayi itu dijual pada harga RM6,000 kepada pasangan... | Ayat yang betul ialah "Bayi itu dijual pada harga RM6,000 kepada pasangan ...". | Tatabahasa | 19.04.2012 |
Antara barang yang kami beli di pasar raya itu ialah . Pasangan antara ialah seperti dalam ayat ini kerap kita temukan dan saya juga menggunakannya. Benarkah penggunaan kata ialah dalam ayat ini SALAH? Jika benar, mengapa dan apa pula pasangan yang betul? | Penggunaan kata pemeri "ialah" hadir di hadapan atau sebelum kata nama dalam sesuatu ayat. Misalnya: (i) Antara perkara yang dibicarakan dalam buku itu ialah masalah moral negara. (ii) Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia. Oleh yang demikian, ayat saudara: Antara barang yang kami beli di pasar raya itu ialah ….” betul penggunaannya mengikut tatabahasa bahasa Melayu. Hal ini, demikian kata "ialah" dalam ayat ini menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Walau bagaimanapun, tidak tepat sekiranya sdr mengatakan "antara-ialah" sebagai pasangan. Terdapat juga perkataan "antara" - "dengan". Misalnya; (i) Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaannya. Ayat sdr seperti yang di atas dapat juga dibina seperti berikut: (ii) Antara barang yang kami beli di pasar raya itu termasuk garam, gula, kopi, dan teh. Sekiranya saudara ingin memahami penggunaan kata sendi dan kata pemeri, sdr boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, terbitan DBP. | Tatabahasa | 23.02.2009 |
Saya menghadapi masalah dalam penggunaan "Antara....dan" dan "Antara...dengan". Pasangan yang mana satukah yang wajar? Dalam penjelasan saudara, sila sertakan dengan contoh ayat. | Pasangan kata sendi nama 'antara ... dengan' yang betul, seperti dalam ayat Antara Siti dengan Sarah, Sarahlah yang lebih pintar. Walau bagaimanapun kata hubung dan dapat digunakan apabila kata sendi nama antara diikuti oleh lebih daripada dua frasa. Contohnya, Satu pertemuan akan diadakan antara Perdana Menteri, Menteri Kerja Raya, dan Menteri Pengangkutan pada minggu ini. | Tatabahasa | 07.03.2011 |
adakah terdapat kesalahan bahasa dalam ayat ini 'Dengan meletusnya kes perceraian digital pertama Malaysia di antara pasangan..'? jika ada, mengapa? | Frasa yang betul ialah "Dengan meletusnya kes perceraian melalui alat telekomunikasi yang pertama di Malaysia antara pasangan, ..." Perkataan yang lebih tepat ialah alat telekomunikasi berbanding digital manakala frasa di antara adalah salah kerana kata sendi "di" digunakan untuk merujuk tempat atau ruang. | Tatabahasa | 31.10.2013 |
Tuan, Kata hubung pasangan 'Walaupun.... namun...." boleh digunakan dalam Bahasa Melayu? Adakah kata hubung ini sah? Sekian, terima kasih. | Kata hubung berpasangan walaupun ... namun tidak terdapat dalam tatabahasa bahasa Melayu. Dalam bahasa Melayu kata hubung berpasangan ialah baik ... mahupun, sama ada ... atau, daripada ... lebih baik, jangankan ... pun. | Tatabahasa | 30.05.2010 |