Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Tuan, antara ayat berikut yang manakah betul? (1) "Tengok tu, asal nampak saja auntie mulalah dia masuk dan memerap di bilik." (2) "Tengok tu, asal nampak auntie saja mulalah dia masuk dan memerap di bilik." | Ayat kedua lebih baik daripada ayat pertama. | Tatabahasa | 25.06.2012 |
Penggunaan laras & gaya bahasa ayat berikut adakan sesuai atau tidak. "Bagaimana nampak lebih muda dan selamanya..?" | Penggunaan laras bahasa dalam ayat berikut adalah betul dan hendaklah dipastikan elipsis (...) ditulis selepas selamanya, kerana elipsis digunakan apabila terdapat sebahagian kata dalam suatu ungkapan digugurkan seperti, 'Bagaimana nampak lebih muda dan selamanya... ?', dan jika elipsis ini ditiadakan, seperti 'Bagaimana nampak lebih muda dan selamanya?' ayat ini menjadi tidak lengkap/tergantung. | Tatabahasa | 15.12.2010 |
mana yang betul,peperiksaan sedang dijalankan atau peperiksaan sedang berjalan, mengapa? | yang betul dan tepat ialah Peperiksaan sedang berlangsung. Kata 'jalan' (sesuatu yang bergerak) , mestilah dipadankan dengan sesuatu/perkara yang kita nampak, tetapi di sini peperiksaan bukanlah perkara yang kita nampak. Jadi perkataan dijalankan tidak sesuai. Terima kasih. | Makna | 30.08.2007 |
Yang manakah yang benar ? 1. Awas, peperiksaan sedang dijalankan 2. Awas, peperiksaan sedang berjalan | Penggunaan yang betul ialah Peperiksaan sedang berlangsung. Kata 'jalan' (sesuatu yang bergerak), mestilah dipadankan dengan sesuatu/perkara yang kita nampak, tetapi di sini peperiksaan bukanlah perkara yang kita nampak. Jadi perkataan dijalankan tidak sesuai. Terima kasih. | Tatabahasa | 05.06.2013 |
Kita sering kali nampak perkataan singkatan Bahasa Inggeris bitanda dengan tanda baca noktah, apakah peraturan umum penempatan tanda baca noktah Bahasa Inggeris digunasama bagi Bahasa Bangsa Malaysia? Contoh: Mr., Bagagaimana dengan En? En. Atau En ? Terima Kasih. | Penggunaan noktah dalam apa yang saudara maksudkan adalah sama. Dalam bahasa Melayu, kata yang diringkaskan perlulah dibubuh noktah, contoh: tuan = tn. telefon = tel. puan = pn. dan sebagainya. | Tatabahasa | 04.05.2009 |
Jenama lain : "Kulit yang nampak leih cerah" Loreal : "kecerahan yang oleh diukur" | gunakan tanda petikan " " | Lain-lain | 26.03.2007 |
'Saya suka bermain bola' , saya biasanya nampak ayat ini dalam buku, adakah 'saya suka main bola' betul? Adakah sesetengah kata dasar boleh digunakan tanpa imbuhan, manakala ada kata dasar memerlukan imbuhan untuk menjadikan kata kerja yang bermakna misalnya main, renang? Bagaimana saya bilakah imbulan perlu digunakan? terima kasih. | Ayat yang betul ialah "Saya suka bermain bola". Kata kerja yang terbentuk tanpa imbuhan ialah kata kerja tunggal. Kata kerja ini boleh hadir sebagai predikat tanpa imbuhan dan kebanyakan kata kerja ini bersifat tak transitif. Contohnya ialah balik, pulang, datang, terbang, gagal, hancur, ikut, jaga, keluar, lahir, Contoh penggunaan kata kerja tunggal dalam ayat adalah seperti yang berikut: 1. Murid-murid itu balik ke rumah. 2. Burung helang terbang di angkasa. 3. Dia lahir di Segamat, Johor. Untuk mendapatkan lanjut tentang perkara ini, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (muka surat 150). | Tatabahasa | 05.08.2013 |
Apakah kriteria sesuatu ejaan diguna pakai? Kadang-kadang nampak ketidakseragaman ejaan. Contohnya perkhemahan, perkelahan, Ramadan, Hadhari. Apa fungsi huruf 'h' kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada. Contoh lain Khamis, reda, khas dan lain-lain. | Sistem ejaan bahasa Melayu ialah sistem yang pada umumnya berdasarkan kaedah fonemik, iaitu unit-unit bunyi yang berfungsi sahaja yang dilambangkan dengan huruf. Sistem ejaan Rumi yang digunakan sekarang ialah Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia yang dirasmikan penggunaannya pada 16 Ogos 1972. Untuk maklumat lanjut, saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 324 dan buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi, halaman 1. | Ejaan | 31.08.2009 |
Apakah perbezaan makna antara perkataan "menyakiti" dengan menyakitkan" Kedua-duanya nampak sama saja. Terima kasih. | Menyakiti bermaksud menyebabkan orang berasa sakit atau menjadikan sakit seperti dalam contoh ayat: Sebenarnya polis tidak boleh menyakiti orang-orang tahanan, Kata-katanya menyakiti hatiku. Manakala menyakitkan bermaksud menimbulkan rasa sakit atau mendatangkan sakit, contohnya: Hulu kikir yang bujur akan menyakitkan tangan ketika menggunakannya. Berdasarkan contoh ayat yang diberi, menyakiti - akibatnya kena pada seseorang, manakala menyakitkan - akibatnya kena pada sesuatu/benda. | Tatabahasa | 29.11.2010 |
Saya ingin tahu yang mana penggunaan label yang betul? "PEPERIKSAAN SEDANG DIJALANKAN" atau "PEPERIKSAAN SEDANG BERJALAN". Mohon sedikit huraian berkaitannya. | Penggunaan label yang betul ialah Peperiksaan sedang berlangsung. Kata 'jalan' (sesuatu yang bergerak) ia, mestilah dipadankan dengan sesuatu/perkara yang kita nampak, tetapi di sini peperiksaan bukanlah perkara yang kita nampak. Jadi perkataan dijalankan tidak sesuai. Terima kasih. | Tatabahasa | 16.02.2007 |
|
Puisi |
---|
|
Pulau Pisang nampak terendam, Nampak dari Kuala Rambah; Hati rindu bertambah dendam, Pada siapa nak menumpang susah?
Lihat selanjutnya... |
|