Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
apakah penjodoh bilangan untuk bibir | Saudara/saudari, Bibir tidak memiliki penjodoh bilangan. Tidak semua perkataan mempunyai penjodoh bilangan. Namun dalam karya kreatif 'seulas' boleh digunakan untuk menunjukkan penjodoh bilangan bagi bibir. "Seulas bibir" | Tatabahasa | 09.08.2012 |
Saya ingin bertanya penggunaan ayat untuk pada bibir atau di bibir. Adakah kedua-duanya boleh digunakan tetapi bergantung pada pembinaan ayat? Contoh: Senyuman di bibirnya sangat manis. Contoh: Rekahan pada bibirnya semakin teruk. | Kata sendi nama “di” digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama ini ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya. Kata sendi nama “pada” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Kedua-dua kata sendi nama tersebut boleh digunakan bergantung pada konteks penggunaan dalam ayat. Contoh ayat: pada: Terdapat luka pada bibir abang. di: Bacaan zikir tidak lekang di bibirnya. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2008), halaman 265 dan 274. | Tatabahasa | 05.03.2024 |
Puan, Bolehkah kita gunakan penjodoh bilangan "biji" untuk "bibir"? Ayat: Miki memiliki sebiji bibir yang cantik. Jika "biji" tidak sesuai untuk dipakai, jadi apakah cadangan puan? Tolong berikan tunjuk ajar. Terima kasih. | Saudara/saudari, Bibir tidak memiliki penjodoh bilangan. Tidak semua perkataan mempunyai penjodoh bilangan. Namun dalam karya kreatif 'seulas' boleh digunakan untuk menunjukkan penjodoh bilangan bagi bibir. "Seulas bibir" | Tatabahasa | 21.07.2013 |
adakah benar sumbing bibir/lelangit menurut DBP adalah kesumbingan bibir dan lelangit atau mempunyai istilah yang lain ? | Yang betul ialah sumbing bibir. | Istilah | 20.08.2009 |
Saya inginkan kepastian peribahasa mana yang betul? Tanam tebu di bibir atau tanam tebu di tepi bibir? | Menurut Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, peribahasa yang betul ialah Bertanam tebu di bibir. Takrifannya, mengeluarkan perkataan yang manis-manis (untuk membujuk dan sebagainya). | Sastera | 31.10.2015 |
1. Bibir gadis itu merah. 2. Baju merah itu mahal. 3. Merah lambang keberanian. 4. Warna merah warna kegemaran adik. Apakah fungsi kata 'merah' dalam keempat-empat ayat itu. | Dalam ayat pertama dan kedua "merah" berfungsi sebagai kata adjektif. Dan "merah" dalam ayat ketiga ialah adjektif yang mengambil tugas kata nama dan berfungsi sebagai subjek ayat sama seperti ayat keempat, ayat yang gramatis merah warna kegemaran adik. Untuk maklumat lanjut, lihat buku Tatabahasa Dewan di bawah tajuk binaan ayat. | Tatabahasa | 09.11.2012 |
Assalamualaikum, Apakah penjodoh bilangan bagi: 1. Bibir 2. Senyuman | Waalaikummussalam saudari Anzalina, Tidak kesemua perkataan memiliki penjodoh bilangan. Sama halnya dengan perkataan bibir dan senyuman. Kedua-dua perkataan tersebut tidak memiliki penjodoh bilangan. Namun dalam karya kreatif sering digandingkan bahasa puitis seperti seulas bibir dan sekuntum senyuman. | Tatabahasa | 07.10.2012 |
Saya minta maaf kerana soalan yang dikemukakan tidak jelas. Soalan saya ialah : kita boleh guna FRASA apa untuk menggambarkan /describe 'bibir bergerak' . Cth, mata bergerak boleh guna 'berkelip kelip'. Terima kasih | Cadangan jawapan yang sesuai bagi frasa untuk menggambarkan bibir bergerak ialah kumat-kamit. Contohnya, Bibir bomoh itu terkumat-kamit mambaca jampi. | Tatabahasa | 16.06.2021 |
Jika 'eyeliner' menjadi penggaris mata, bolehkah 'lip liner' menjadi garis bibir? | Kami mencadangkan "lipliner" diterjemahkan sebagai "penggaris bibir". Namun, padanan ini bergantung pada kesesuaian serta konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang atau laras bahasa. | Istilah | 10.04.2022 |
Salam sejahtera. Berdasarkan Tatabahasa Dewan (TD), kata sendi nama di digunakan untuk kata nama ataupun frasa nama yang merujuk kepada tempat. Adakah di tingkatan lima merujuk kepada tempat? Bagaimanakah pula rangkai kata disebut-sebut di bibir ataupun tidak lekang di bibir Kata sendi nama dan kata arah pula boleh berdampingan untuk menunjukkan hala ataupun jurusan. Persoalannya, adakah di bawah naungan/perlindungan/pengawalan ataupun di bawah Kementerian Pelajaran/Ordinan Kemajuan Tanah 1956 merujuk kepada hala ataupun jurusan? Penjelasan Munsyi Dewan amat dihargai! Sekian. | Salam Sejahtera. Kata sendi "di" yang digunakan dalam frasa "di tingkatan lima", "disebut-sebut di bibir" dan "tidak lekang di bibir" merujuk tempat. Kata sendi nama dan kata nama arah "di bawah" dalam contoh frasa yang diberikan merujuk jurusan. | Tatabahasa | 28.04.2014 |