Tanjung Horn ialah bahagian paling selatan Amerika Selatan. Ia terletak di hujung selatan kepulauan Horn di Chile. William Schouten, ahli pelayaran Belanda, menamainya sempena bandar asalnya Hoorn, pada tahun 1616. Tanjung ini menjulur jauh ke laut. Tebingnya curam dan pada beberapa tempat setinggi 150 hingga 180 meter. Tumbuhan kurang hidup di Tanjung Horn akibat iklim yang sejuk. Kawasan sekitar tanjung ini terlalu kerap dilanda ribut, hingga ahli pelayaran amat bimbang apabila mengelilinginya. Banyak kapal kini mengelak daripada melalui tanjung ini dan sebaliknya menggunakan Terusan Panama. |