Musim sejuk nuklear merujuk kepada kesan dahsyat pada persekitaran seluruh dunia yang mengancam nyawa akibat perang nuklear. Perang seperti ini boleh menyebabkan berlakunya musim sejuk nuklear dengan mengakibatkan perubahan yang berbahaya pada atmosfera dan iklim bumi. Musim sejuk nuklear boleh mula terbentuk daripada kebakaran bandar yang diakibatkan oleh haba letupan nuklear yang sangat kuat. Sejumlah besar asap kebakaran ini boleh tersebar dan meliputi sekurang-kurangnya separuh permukaan bumi. Asap ini boleh menghalang sebahagian besar sinaran matahari daripada sampai di bumi. Suhu akan menurun dengan banyak, dan hujan akan berkurangan. Keadaan ini mungkin berlangsung selama beberapa bulan atau tahun. |