Semikonduktor ialah bahan yang mengalirkan elektrik lebih baik daripada penebat seperti kaca, akan tetapi tidak sebaik konduktor elektrik seperti tembaga. Bahan seumpama itu menghasilkan komputer yang moden dan peranti elektronik lain yang penting. Transistor yang digunakan dalam radio saku yang kecil ialah peranti semikonduktor. Begitu juga sel suria yang membekalkan kuasa elektrik pada satelit tiruan. Silikon ialah bahan semikonduktor yang paling meluas digunakan. Bahan semikonduktor lain termasuk kuprus oksida, germanium, galium arsenida, galium fosfida, indium arsenida, plumbum sulfida, selenium, dan silikon karbida. |