Abu Tamam (190 H.?231 H.?/806 M.?846 M.?), penyair yang terkemuka pada zaman kerajaan Abbasiyyah. Nama penuhnya ialah Habib ibn Aws al- Taiy. Dikatakan bahawa bapanya bernama Tadarrus yang dahulunya seorang Nasrani. Setelah memeluk Islam, dia menukarkan namanya kepada Aws serta hidup dalam Kabilah Tayy. Sebenarnya, Abu Tamam berasal daripada keturunan Arab. Dia lahir di Jasim, iaitu salah sebuah perkampungan Hauran di Syam yang terletak kira-kira 40 kilometer di selatan Damsyik. Terdapat perselisihan pendapat tentang tarikh lahirnya. Ada pendapat mengatakan bahawa dia lahir pada 172 H. atau pada tahun 190 H. Begitu juga terdapat pertentangan pendapat tentang tarikh kematian, iaitu antara 228 H. dengan 231 H. Dia dibesarkan di Syam dalam kehidupan yang miskin. Dia bekerja sebagai penenun kain di Damsyik. Kemudian dia berpindah ke Hims dan seterusnya mengembara ke Mesir. Di sana, dia bekerja sebagai pemberi minuman kepada orang ramai di Jami Amr ibn al-As. Dia sering kali menghadiri majlis sastera dan ilmu. Pada zamannya, Abu Tamam mempelajari ilmu-ilmu agama, bahasa Arab dan ilmu yang diterjemah dalam bahasa Arab seperti ilmu mantik, falsafah dan kata-kata hikmah. Dia memiliki kecerdikan dan ingatan yang kuat di samping idea yang bernas. Dia meninggal dunia di Mosul, Iraq. |