Nabi Daud a.s. ialah salah seorang daripada Nabi Allah yang diutuskan kepada manusia. Baginda adalah anak kepada Yahudha ibn Yakub ibn Ishak ibn Ibrahim Khalil al-Rahman alaihissalam. Allah SWT telah menurunkan kepadanya kitab Zabur yang mengandungi pengajaran, teladan, kata-kata hikmah dan zikir-zikir yang memuji Allah. Allah juga telah mengurniakannya ilmu pengetahuan dan kepetahan berucap di samping kedudukan sebagai seorang nabi dan raja. Nabi Daud a.s. mempunyai suara yang sangat lunak dan merdu hinggakan apabila membaca kitab Zabur, burung-burung yang terbang akan berhenti dan hinggap di dahan pokok sambil berkicau mendengar bacaannya. Burung- burung itu juga akan turut bertasbih apabila Nabi Allah Daud bertasbih. Begitu juga dengan gunung- ganang. Ia akan mengiringi Nabi Daud a.s. berzikir pada waktu pagi dan petang. Nabi Daud a.s. banyak melakukan amal ibadat pada waktu malam, berpuasa pada waktu siang dan banyak menghabiskan masanya dengan beribadat di masjid. Allah SWT memberikan keistimewaan dan mukjizat kepadanya iaitu gunung-ganang turut mengiringinya bertasbih pada waktu pagi dan petang. Burung-burung akan berkicau mengiringinya apabila Nabi Daud a.s. membaca kitab Zabur. Nabi Allah Daud dapat memahami bahasa pertuturan burung. Bahkan turut mampu melembutkan besi dan melenturnya dengan tangan seolah-olah membuat adunan tepung. Selain daripada itu, Nabi Allah Daud juga pakar dalam membuat perisai perang. |