Nabi dan rasul ialah orang lelaki daripada kalangan manusia yang dipilih oleh Allah SWT dan diturunkan wahyu kepada mereka. Perbezaan antara nabi dan rasul ialah: Allah SWT membangkitkan para nabi dengan membawa syariat baru atau syariat lama, dan menyuruh mereka beramal dengannya untuk menjadi ikutan kepada orang lain. Contohnya, banyak nabi di kalangan Bani Israel, tetapi mereka tidak diperintahkan berdakwah kepada seluruh manusia, kerana setiap nabi itu diutuskan kepada kaumnya sahaja. Manakala para rasul pula dipilih oleh Allah SWT dan diwahyukan syariat kepada mereka serta disuruh menyampaikannya kepada seluruh manusia. Allah SWT menurunkan kitab kepada Nabi Muhammad SAW., iaitu al-Quran. Manakala Nabi Isa a.s. telah berdakwah untuk beberapa ketika dengan menyeru kepada ajaran Taurat, kemudian Allah SWT menurunkan kepadanya kitab Injil, lalu dia pun menyeru kepada ajaran Injil. Dengan keterangan di atas, nyatalah bahawa gelaran rasul lebih umum daripada gelaran nabi, kerana rasul juga adalah nabi sedangkan nabi mungkin tidak menjadi rasul. |