Perpustakaan . Perpustakaan merupakan suatu bahagian yang amat penting dalam sistem pendidikan di dunia dan dalam proses menyimpan dan mendapat kembali maklumat. Perpustakaan menyediakan pengetahuan yang telah dikumpulkan dari zaman ke zaman melalui buku, filem, rakaman, dan media lain. Manusia dari semua lapisan masyarakat, termasuk pelajar, guru, eksekutif perniagaan, pegawai kerajaan, para sarjana, dan ahli sains, menggunakan sumber yang ada di perpustakaan untuk kerja mereka. Sebilangan besar daripada orang awam turut mengunjungi perpustakaan untuk memenuhi keperluan menimba ilmu pengetahuan atau untuk mendapatkan bahan bagi kegiatan masa lapang mereka. Di samping itu, ramai orang menikmati perbincangan buku, pertunjukan filem, kuliah, dan kegiatan lain yang diaturkan oleh perpustakaan tempatan mereka. |