Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Rakan atau rakan-rakan? Contoh : kongsi barangan yang boleh digunakan semula dengan keluarga dan rakan. (atau rakan-rakan?) | Kata 'rakan' sudah memadai, tidak perlu digandakan. | Tatabahasa | 13.04.2011 |
"Ibu menjahitkan kakak baju kurung."(betul) tapi mengapa "Ibu menghidangkan rakan-rakan saya pelbagai masakan yang lazat." (salah) bukankah menjahitkan kakak bermaksud menjahitkan untuk kakak manakala menghidangkan rakan-rakan bermaksud menghidangkan untuk rakan-rakan.Mohon penjelasan untuk mengelakkan kekeliruan.Terima kasih | Perkataan menjahitkan dan menghidangkan merupakan kata kerja transitif aktif. Walau bagaimanapun kata kerja menjahitkan diikuti oleh kata nama objek bernyawa, iaitu kakak, manakala kata kerja menghidangkan diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa, seperti makanan. | Tatabahasa | 14.01.2011 |
Apakah kesalahan yang terdapat pada ayat di bawah? 1) Rusdi mempunyai banyak rakan-rakan yang tinggal di kampung yang tersusun itu. 2) Pak Long masih teguh ingatannya walaupun umurnya sudah lanjut.(SESUAIKAH PERKATAAN TEGUH DIGUNAKAN DALAM AYAT INI?) Mohon penjelasan daripada pihak tuan sekiranya ada kesalahan dari segi frasa atau penggunaan perkataan | 1) Rusdi mempunyai banyak rakan-rakan yang tinggal di kampung yang tersusun itu. Kesalahan banyak rakan-rakan - frasa ini telah lewah. rakan-rakan telah menunjukkan banyak. Tidak perlu banyak rakan-rakan. Memadai rakan-rakan. 2) Pak Long masih teguh ingatannya walaupun umurnya sudah lanjut. teguh- kurang sesuai dalam konteks ayat di atas. Perkataan yang paling tepat ialah kuat.
| Tatabahasa | 17.08.2012 |
1. Apakah berbezaan antara perkataan bersama dan bersama-sama? Yang manakah frasa yang tepat "bersama-sama rakan-rakan" atau "bersama rakan-rakan" 2. Penggunaan yang tepat bagi perkataan belakangan ini? | 1. Bersama membawa pelbagai maksud, antaranya termasuklah bergandingan dengan, serentak dengan ataupun bersama-sama. Dalam hal ini bersama membawa banyak makna tetapi bersama-sama hanya bermaksud bergandingan dengan. Frasa yang tepat ialah bersama-sama rakan atau bersama dengan rakan. 2. Belakangan ini sama maknanya dengan kebelakangan ini, contoh ayat: Belakangan/kebelakangan ini, banyak anak-anak Melayu yang berminat untuk berniaga. | Tatabahasa | 25.01.2011 |
Salam sejahtera. Ayat berikut ada apa kesalahan ? perlu ada "sekalian"? Salam sejahtera, Tuan pengerusi majlis, Guri besar, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. | rakan sekalian ataupun rakan-rakan. | Tatabahasa | 06.10.2012 |
manakah jawapan yang tepat? kita harus memberi kritikan yang membina / membena terhadap rakan - rakan. | Yang betul ialah, kita harus memberi kritikan yang membina terhadap rakan - rakan. | Tatabahasa | 05.11.2007 |
kata manakah yang harus digunakan "pentaksir" atau "penaksir" untuk situasi berikut. Assalamualaikum kepada guru "pentaksir" bahasa Melayu dan rakan-rakan . atau Assalamualaikum kepada guru "penaksir" bahasa Melayu dan rakan-rakan. sekian, terima kasih. | Pentaksir dan penaksir mempunyai makna yang sama. Kedua-dua perkataan ini diterima pakai. Cuma, adakah perkataan guru penaksir digunakan dalam profesion perguruan? | Makna | 30.04.2011 |
Salam 1Bahasa, 1. Apakah yang dimaksudkan dengan bahasa figuratif? Contoh ayat figuratif, bagaimana? 2. Ayat yang gramatis: Rakan-rakan guru diminta untuk menyalin nota itu. ATAU Rakan guru diminta untuk menyalin nota itu. Alasannya? 3. a) Sultan menamai tempat itu Melaka. (BETUL) b) Sultan menamakan Melaka untuk tempat itu. (SALAH) (Dipetik daripada Tatabahasa Dewan, halaman 394) Mohon penjelasan tentang perkara di atas. Terima kasih. | 1. Bahasa figuratif, bermaksud bahasa yang mengandungi makna perkataan, rangkaikata dan sebagainya yang bersifat abstrak dan imaginatif, berlainan daripada makna perkataan yang biasa, lazim dan harfiah, antaranya ialah ungkapan, frasa, perkataan yang memanfaatkann penggunaan bahasa kiasan, lambang, metafora dan sebagainya bagi menyatakan makna. 2. Kedua-dua ayat boleh digunakan. Rakan-rakan bermaksud banyak rakan dan rakan bermaksud rakan. Ayat lebih gramatis ialah "Rakan-rakan guru diminta untuk menyalin nota." 3. Berdasarkan muka surat yang dinyatakan, kekeliruan berkaitan Frasa Kerja dengan Dua Objek. Frasa kerja yang dibentuk oleh kata kerja transitif sebagai intinya boleh mengandungi dua frasa nama yang menjadi objek kepada kata kerja itu. Objek-objek ini mempunyai fungsi yang berbeza dan boleh disebut sebagai objek tepat dan objek sipi. Ayat Sultan menamai tempat itu Melaka mempunyai hanya satu objek sahaja. Bagi ayat kedua, Sultan menamakan Melaka untuk tempat itu merupakan ayat kurang gramatis kerana Melaka hanya berfungsi sebagai penerang kepada objek iaitu tempat itu dan tidak boleh dijadikan objek tepat. | Tatabahasa | 24.02.2013 |
Yang manakah betul? 1. rakan-rakan sekalian 2. rakan sekalian | Perkataan sekalian bermaksud semua, oleh itu memadai dengan rakan sekalian. | Tatabahasa | 15.06.2012 |
Salam sejahtera, Saya ingin bertanya. Istilah yang manakah benar? 1. Rakan sekalian 2. Rakan-rakan sekalian Terima kasih. | Perkataan sekalian bermaksud semua, oleh itu memadai dengan rakan sekalian. | Tatabahasa | 26.12.2012 |