Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Merujuk ulasan tuan tentang soalan 93. Tuan menyatakan bahawa ' antara perkataan yang lain yang boleh menerima imbuhan memper...i ialah peroleh, perbaiki...' . Sepatutnya 'oleh' menerima memper...i, ' baik' menerima 'memper...i'. Walau bagaimanapun, ' memperolehi' memperbaiki' memperkuasai', 'dll ( rujuk TD Ketiga, m/s 212 ) dikatakan bentuk yang lewah yang seharusnya dieja sebagai (memperoleh), (membaiki), menguasai dll. Kamus Dewan Edisi Keempat menyatakan bahawa' lewah' membawa maksud berlebih-lebih sehingga tertambah perkara, hal, dsb yang tidak perlu . Jadi 'memperolehi' adalah salah penggunaan imbuhan. 'Oleh' sebagai kata sendi nama hanya menerima 'memper...' bukan memper... i' (TD Edisi ketiga m/s 180) | Apitan memper-.....-i wujud hasil daripada perkembangan bahasa, iaitu keperluan menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Setakat ini hanya bentuk yang berikut yang wajar dianggap sebagai jenis kata kerja yang terbentuk dengan apitan memper-.....-i ini, iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami, dan memperisteri. Bentuk mempersuami dan memperisteri sebenarnya berbentuk mempersuamii dan memperisterii tetapi telah berlaku pengguguran satu huruf i dalam kedua-dua perkataan ini. Bentuk yang lazim digunakan dengan apitan memper-...-i seperti memperolehi, memperbaiki, memperkuasai, memperdalami, memperakui, mempersetujui dan memperhalusi merupakan bentuk terbitan yang lewah. Kata dasar bentuk terbitan di atas seharusnya menerima awalan meN- atau memper-, apitan men-...-i atau apitan memper-...-kan, seperti yang berikut: memperolehi seharusnya memperoleh, memperbaiki seharusnya memperbaik, memperkuasai seharusnya menguasai, memperdalami seharusnya mendalami, memperakui seharusnya mengakui/memperakukan, mempersetujui seharusnya menyetujui, memperhalusi seharusnya menghalusi. Kami memohon maaf atas kekeliruan jawapan yang diberikan sebelum ini. | Tatabahasa | 19.04.2010 |
Dia menerima Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Boston @ Dia menerima Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Boston | Ayat yang betul ialah "Dia menerima Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Boston". | Tatabahasa | 12.09.2011 |
Salam Sejahtera, tuan. Bolekah tuan tolong terangkan soalan-soalan saya yang berikut: 1. menghidangkan makanan yang pelbagai jenis / menghidangkan pelbagai jenis makanan ? 2. menerima banyak hadiah / menerima hadiah yang banyak ? Setahu saya, selepas kkt mesti diikuti terus dengan objek. Namun' saya masih terjumpa ayat-ayat tersebut dalam bahan-bahan bacaan. Ini amat mengelirukan saya. Minta tuan memberikan penjelasan kepada saya. 3. menyusun buku / menyusun buku-buku ? 4. menyusun ayat-ayat yang berikut / menyusun ayat yang berikut? Sekian, tyerima kasih. | Frasa yang betul ialah: 1. menghidangkan pelbagai jenis makanan - 2. menerima banyak hadiah Pendapat tuan betul, kata kerja transitif mesti diikuti objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. 3. menyusun buku 4. menyusun ayat yang berikut Buku dan ayat dalam frasa di atas tidak perlu digandakan kerana perbuatan menyusun, iaitu meletakkan bersusun menunjukkan sesuatu yang banyak. | Tatabahasa | 07.04.2012 |
1. Dia menerima surat daripada Universiti Malaya. 2. Dia menerima surat dari Universiti Malaya. Mana yang betul? | Ayat yang paling tepat ialah Dia menerima surat daripada Universiti Malaya. - menerangkan sumber/punca surat itu diterima. | Tatabahasa | 21.01.2011 |
Salam sejahtera. Tuan, Ayat yang manakah betul; Kamal dan kakaknya segera balik ke kampung setelah menerima panggilan telefon daripada ibunya / Kamal dan kakaknya segera pulang ke kampung setelah menerima panggilan telefon daripada ibunya. | Kamal dan kakaknya segera balik ke kampung setelah menerima panggilan telefon daripada ibunya / Kamal dan kakaknya segera pulang ke kampung setelah menerima panggilan telefon daripada ibunya. Kedua-dua ayat itu betul, balik dan pulang sama maknanya. | Tatabahasa | 21.07.2008 |
Assalamualaikum w.b.t. Perkataan "disalahtafsirkan" adalah satu perkataan atau dua perkataan? "disalahtafsirkan" atau "disalah tafsirkan"? Terima kasih. | Kata majmuk yang menerima apitan atau menerima imbuhan pada perkataan pertama dan akhiran pada kerkataan kedua, ejaannya perlu disambung seperti disalahtafsirkan. | Tatabahasa | 20.07.2012 |
Mana ayat yang tepat, 'Sekiranya pihak universiti tidak menerima apa-apa jawapan daripada tuan selepas 14 hari dari tarikh surat ini...........' atau ' Jika pihak universiti tidak menerima sebarang jawapan daripada tuan selepas 14 hari........' | Ayat yang betul: 'Sekiranya pihak universiti tidak menerima apa-apa jawapan daripada tuan selepas 14 hari dari tarikh surat ini...........' | Tatabahasa | 05.05.2011 |
Kami menerima dua jawapan yang berbeza daripada pihak tuan. Mohon pencerahan, yang manakah yang paling tepat antara ayat di bawah (kedua-dua ini adalah jawapan yang diberikan oleh pihak DBP: a) Jawapan : Selepas tanda petikan, mulakan dengan huruf besar. "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung, "Mungkin dia diperangkap." -24 Nov 2011 b) b) Jawapan : Jika kautiba di tasik," dia mengingatkan dirinya sendiri, "kau perlu ingat apa yang pernah berlaku."-27 Januari 2012 Berdasarkan jawapan pada 24 November 2011, selepas tanda petikan, mulakan dengan huruf besar. Jawapan 27 Januari 2012 tidak selari dengan kenyataan pada 24 November 2011. | Sila rujuk petikan di bawah yang diambil daripada novel Kuntum Tulip Biru, karya SN Arena Wati, terbitan DBP dan bandingkan dengan ayat contoh yang saudara sertakan. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. "Mariani rindu makanan Asia," kata David sambil ketawa. "Kami harap segera dapatkan rumah, biar saya rasamasakannya sebelum saya pulang ke Amerika." "Kalau tidak kuat, hentikan. Macam saya. Kaulihat. Kerja saya banyak. Saya tinggalkan!" Ninik kembali merenung Pamela. "Kau akan kemukakan supaya kejadian hari ini dibincang?" Berdasarkan petikan tersebut setiap ayat dalam pengikat kata dimulakan dengan huruf besar, namun tanda baca yang sebelum pengikat itu juga perlu jelas, iaitu noktah bukan tanda koma (walaupun ayatnya pendek). Maka huruf dalam pengikat tersebut dimulakan dengan huruf besar besar. Pada masa akan datang kami cadangkan saudara merujuk buku Gaya Dewan dan juga buku terbitan DBP yang banyak menggunakan tanda baca seperti buku teks dan novel. | Ejaan | 31.01.2012 |
Kami menerima dua jawapan yang berbeza daripada pihak tuan. Mohon pencerahan, yang manakah yang paling tepat antara ayat di bawah (kedua-dua ini adalah jawapan yang diberikan oleh pihak DBP: a) Soalan : Mohon tuan yang bijaksana semak ayat yang manakah menggunakan tanda baca yang betul?: (1) a) "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung, "mungkin dia diperangkap." b) "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung. "Mungkin dia diperangkap." Jawapan : Selepas tanda petikan, mulakan dengan huruf besar. "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung, "Mungkin dia diperangkap." -24 Nov 2011 b) Soalan : Mohon penjelasan pihak tuan/puan. Ayat berikut adalah ayat yang diucapkan secara putus-putus. Yang manakah lebih tepat? a) Jika kautiba di tasik," dia mengingatkan dirinya sendiri, "kau perlu ingat apa yang pernah berlaku." b) Jika kautiba di tasik," dia mengingatkan dirinya sendiri, "Kau perlu ingat apa yang pernah berlaku." Jawapan : Jika kautiba di tasik," dia mengingatkan dirinya sendiri, "kau perlu ingat apa yang pernah berlaku."-27 Januari 2012 | Sila rujuk petikan di bawah yang diambil daripada novel Kuntum Tulip Biru, karya SN Arena Wati, terbitan DBP dan bandingkan dengan ayat contoh yang saudara sertakan. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. "Mariani rindu makanan Asia," kata David sambil ketawa. "Kami harap segera dapatkan rumah, biar saya rasamasakannya sebelum saya pulang ke Amerika." "Kalau tidak kuat, hentikan. Macam saya. Kaulihat. Kerja saya banyak. Saya tinggalkan!" Ninik kembali merenung Pamela. "Kau akan kemukakan supaya kejadian hari ini dibincang?" Berdasarkan petikan tersebut setiap ayat dalam pengikat kata dimulakan dengan huruf besar, namun tanda baca yang sebelum pengikat itu juga perlu jelas, iaitu noktah bukan tanda koma (walaupun ayatnya pendek). Maka huruf dalam pengikat tersebut dimulakan dengan huruf besar besar. Pada masa akan datang kami cadangkan saudara merujuk buku Gaya Dewan dan juga buku terbitan DBP yang banyak menggunakan tanda baca seperti buku teks dan novel. | Ejaan | 31.01.2012 |
saya menerima jawapan yang berbeza bagi soalan 'pada / dalam usia belasan tahun'? perkataan mempersetujui merupakan terbitan kata yang lewah, bolehkah perkataan ini digunakan? harap beri penjelasan. | Kedua-duanya betul mengikut konteks penggunaan. Pada usia belasan tahun bermaksud pada usia belasan tahun yang tertentu, manakala dalam usia belasan tahun bermaksud dalam tempoh usia tersebut yang tidak ditentukan. Mempersetujui betul dari segi tatabahasa dan bukan kata terbitan yang lewah. | Tatabahasa | 21.05.2007 |
|
Puisi |
---|
|
Kalau memanah burung helang, Bolehkah tidak dia mengena; Kalau kakanda datang meminang, Adakah adinda sudi menerima?
Lihat selanjutnya... |
|