Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Adakah perkataan "mahasiswa-mahasiswi" gramatis? | Perkataan mahasiswa dan mahasiswi boleh merujuk kepada sorang atau ramai bergantung pada konteks ayat yang digunakan. Perkataan mahasiswa-mahasiswi adalah tidak tepat, yang betul ialah mahasiswa dan mahasiswi atau mahasiswa sahaja sudah memadai untuk merujuk pelajar yang belajar di universiti termasuklah pelajar wanita. | Tatabahasa | 06.05.2011 |
Dia adalah graduan Amerika Syarikat / Dia graduan daripada Amerika Syarikat? | Untuk makluman, istilah graduan bermaksud mahasiswa atau mahasiswi yang akan menerima ijazah pada masa konvokesyen (hari penyampaian ijazah). Perkataan yang sesuai dalam konteks ini ialah siswazah yang bermaksud lulusan universiti. Ayat yang betul ialah: Dia ialah siswazah dari Amerika Syarikat. | Istilah | 27.02.2012 |
Bagaimana nak terjemahkan perkataan "undergraduate"? | Berdasarkan Kamus Inggeris-Melayu Dewan, padanan undergraduate dalam bahasa Melayu ialah mahasiswa (lelaki) atau mahasiswi (perempuan). | Istilah | 02.10.2009 |
Apakah perbezaan penggunaan perkataan "murid" dan "pelajar" ? Bilakah perkataan tersebut boleh digunakan khususnya semasa di sekolah ? | Dalam konteks negara kita, 'murid' digunakan di peringkat sekolah rendah, manakala 'pelajar' digunakan untuk sekolah menengah. Di universiti juga, selain disebut mahasiswa dan mahasiswi, 'pelajar' juga boleh digunakan. | Lain-lain | 21.11.2010 |
Salam sejahtera. 1) Adakah perkataan 'baru' itu sinonim kepada 'baharu'? Tesaurus dalam carian atas talian (PRPM) hanya mengatakan 'rujuk "baru"' tetapi tidak secara terang menyatakan sekiranya kedua perkataan ini bersinonim antara satu sama lain. 2) Walau bagaimanapun, Kamus Inggeris-Melayu Dewan menakrifkan 'new' sebagai 'adj; baru, baharu' . Jadi, adakah ini bermakna 'baru' dan 'baharu' sinonim? 3) Sekiranya sinonim, apakah beza penggunaan kedua-duanya? Adakah secara formal/tidak formal atau ejaan standard/tidak standard, etc? Adakah ianya hanya perbezaan 'stylistic'. 4) Adakah salah sekiranya saya menulis 'Selamat Datang Mahasiswa dan Mahasiswi Baru' yakni tidak menggunakan 'baharu'? Terima kasih. | Kata baru dan baharu bukan sinonim kerana sinonim ialah kata yang sama atau hampir sama maknanya dgn kata lain, misalnya cantik dengan indah. Sebaliknya kata baru dan baharu dianggap sebagai varian (bentuk atau ejaan yang berlainan bagi perkataan yang sama) dalam bahasa Melayu. Seperti yang dimaklumi, Kamus-Inggeris-Melayu Dewan menakrifkan new sebagai baru dan baharu. Ini bermakna untuk frasa bahasa Inggeris seperti New Edition dan New Car boleh diterjemahkan kepada Edisi Baru atau Edisi Baharu dan Kereta Baru atau Kereta Baharu. Walau bagaimanpun dalam bahasa Melayu kata terbitan daripada kata baharu lebih produktif berbanding dengan kata terbitan daripada kata baru. Contohnya kata baharu menerbitkan kata membaharui, memperbaharu, kebaharuan, pembaharuan dan pembaharu; manakala kata baru menerbitkan kata baru-baru dan membarukan. | Tatabahasa | 05.09.2011 |