Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
1)Apakah kriteria-kriteria yang dititikberatkan ketika pemilihan sesuatu karya untuk diterbitkan? 2)Bagaimanakah caranya pengkarya untuk mengetahui sesuatu karya yang dihantar telah berjaya diterbitkan? 3)Berapakah royalti bagi sesebuah puisi dan cerpen? | 1 Kriteria pemilihan: (i) Isi: Keaslian idea, ketepatan fakta, dan perkara yang ditulis tidak bertentangan dengan agama Islam, undang-undang, kesusilaan, dan kepentingan negara. (ii) Cara Persembahan: Penyusunan idea yang logik, kemas, dan sesuai dengan sasaran (pembaca umum, ahli akademik, kanak-kanak dan remaja). (iii) Bahasa: Penggunaan bahasa yang baik dan istilah yang tepat; ejaan dan tanda baca yang betul serta sesuai dengan sasaran. (iv) Pasaran: Mempunyai potensi pasaran yang luas. 2 Pengurus projek akan memaklumkan kepada penulis melalui surat sama ada karya tersebut wajar diterbitkan ataupun tidak. 3. Kadar royalti untuk kumpulan puisi ataupun cerpen ialah 12%. Dewan Bahasa dan Pustaka akan membayar 50% apabila buku terbit dan 50% lagi berdasarkan jualan buku. | Lain-lain | 28.04.2008 |
Apakah tafsiran tentang golongan kata mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu? | Perkataan dalam sesuatu bahasa dapat digolongkan ke dalam golongan tertentu berdasarkan beberapa kriteria, misalnya kriteria struktur fonologi atau bunyi, kriteria morfem,kriteria sintaksis dan kriteria semantik.Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Keempat perkataan digolongkan berdasarkan kriteria sintaksis dan semantik kerana penggolongan yang sedemikian didapati lebih selaras fdengan status perkataan sebagai satu bentuk bebas yang menjadi unsur dalam binaan sintaksis, iaitu frasa, klausa dan ayat. Rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Keempat, bab 5, halaman 81. | Tatabahasa | 22.09.2008 |
Salam, 1. Saya ingin bertanya tentang skop penerbitan novel remaja peringkat sekolah menengah. Apakah kriteria-kriteria yang perlu untuk menghasilkan manuskrip novel remaja peringkat sekolah menengah. Aspek lain seperti ketebalan manuskrip dan perkara-perkara yang perlu dielakkan dalam penulisan novel remaja peringkat sekolah menengah. Terima kasih. | Salam. Remaja terbahagi kepada dua iaitu remaja awal (13-15 tahun) dan remaja akhir (16-21 tahun). Sebenarnya tiada batasan dalam skop penerbitan novel remaja, sama ada peringkat sekolah menengah atau peringkat yang lebih tinggi, yang penting adalah mesej yang hendak saudara sampaikan kepada khalayak saudara, iaitu para remaja. Setiap mesej yang hendak disampaikan perlulah mempunyai nilai-nilai murni yang wajib diterapkan ke dalam jiwa setiap remaja. Manuskrip pula janganlah terlalu tebal, maksudnya lebih kurang dalam 200 - 250 halaman untuk remaja awal, kerana bagi setiap 100 halaman kertas kuarto, novel tersebut akan menjadi 200 halaman. Bagi remaja akhir pula, lebih kurang 300 - 350 halaman, paling tebal pun 400 halaman, iaitu lebih kurang 200 halaman kertas kuarto. Setiap karya yang ditulis hendaknya janganlah menyentuh sensitiviti kaum, agama dan adat resam serta budaya sesuatu kaum. Pena itu lebih tajam daripada sebilah pedang, kerana itu apa sahaja yang hendak ditulis perlulah berhati-hati. Saudara juga mesti membuat penyelidikan tentang apa yang hendak saudara tulis, supaya tidak berlaku bercanggah atau kelihatan tidak masuk akal atau mengarut, setiap fakta mesti dengan disokong dengan bukti. Karya juga hendaklah sesuai dengan pembaca sasaran. | Lain-lain | 18.11.2009 |
bagaimana cara untuk menghantar artikel ke dalam majalah DBP, sama ada dewasa, pelita bahasa dan sebagainya? saya ada puis, artikel bahasa, komen.. dan apakah kriteria-kriteria yang melayakkan sesuatu karya itu diterbitkan di dalam sesuatu majalah? dan mengeai bayaran.. | Terima kasih kerana berminat menyumbangkan karya dalam majalah DBP. Karya seharusnya bertaip dua langkau, dikirim melalui e-mel , pos, atau faks dan alamatnya ada dinyatakan dalam majalah DBP. Setiap karya yang terbit memungkinkan penulisnya menerima honoraruim mengikut kadar DBP. | Lain-lain | 22.07.2008 |
Apakah kriteria sesuatu ejaan diguna pakai? Kadang-kadang nampak ketidakseragaman ejaan. Contohnya perkhemahan, perkelahan, Ramadan, Hadhari. Apa fungsi huruf 'h' kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada. Contoh lain Khamis, reda, khas dan lain-lain. | Sistem ejaan bahasa Melayu ialah sistem yang pada umumnya berdasarkan kaedah fonemik, iaitu unit-unit bunyi yang berfungsi sahaja yang dilambangkan dengan huruf. Sistem ejaan Rumi yang digunakan sekarang ialah Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia yang dirasmikan penggunaannya pada 16 Ogos 1972. Untuk maklumat lanjut, saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 324 dan buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi, halaman 1. | Ejaan | 31.08.2009 |
saya ingin mengetahui kriteria yang diambil kira untuk menentukan bayaran royalti untuk sesuatu hasil tulisan | Untuk makluman saudara, penentuan kadar royalti yang dibayar kepada penulis bagi buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka adalah berdasarkan jenis/peringkat sesuatu karya tersebut (kanak-kanak, remaja, dewasa dan juga pengajian tinggi). Terima kasih. | Lain-lain | 17.11.2009 |
Apakah syarat-syarat dan kriteria untuk menjadi Munsyi Dewan dan apakah keistimewaannya? | Puan Siti, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP, Syarat paling utama untuk menjadi Munsyi Dewan (MD) ialah minat serta komitmen dalam menjalankan tugas yang diberikan. Selain itu kelulusan dan pengalaman bertugas sama ada sebagai guru atau tenaga pengajar juga penting. Kakitangan kerajaan yang mempunyai minat dan kecenderungan dalam pengajaran bahasa dan penulisan juga amat duialu-alukan. Pihak kami akan mengiklankan pengambilan Munsyi Dewan dalam akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia. Iklan pengambilan Munsyi Dewan akan dikeluarkan sekiranya DBP berhasrat mengambil Munsyi Dewan bagi fasa seterusnya. Terima kasih. | Lain-lain | 05.03.2009 |
Salam. Mohon kiranya pihak tuan/puan dapat menjawab persoalan saya. 1. Apakah kriteria bagi pelantikan pewasit bagi jurnal? 2. Bagaimana dengan tempoh lantikan bagi pewasit? 3. Adakah formula tertentu digunakan bagi pembayaran kepada pewasit? (dibayar mengikut helaian artikel atau berdasarkan judul) 4. Apakah yang dimaksudkan dengan high impact factor bagi jurnal? | 1. Pewasit memiliki ilmu atau kelayakan yang lebih tinggi daripada penulis makalah 2. Tempoh lantikan pewasit mengikut kerja penilaian; sekali lantik untuk satu penilaian 3. Kadar bayaran RM200 untuk setiap makalah yang dinilai | Lain-lain | 11.03.2009 |
apakah tips yg harus diketahui untuk menghadiri temuduga... | Tidak ada kriteria khusus tentang soalan yang akan ditanya dalam temu duga. Cuma secara umumnya perkara yang perlu diberi perhatian dan dibuat persediaan sebelum menghadiri sesuatu temu duga ialah: i. pengetahuan calon temu duga tentang bidang tugas jawatan yang dimohon; ii. kemahiran calon temu duga dalam bidang tersebut; iii. nilai-nilai peribadi calon termasuklah kematangan, dedikasi, kejujuran, kepatuhan kepada peraturan dan arahan penyelia, kerajinan, keupayaan memberikan pandangan yang bernas dan praktikal dan sebagainya. | Lain-lain | 30.04.2008 |
Assalamualaikum dan selamat pagi. Saya ada beberapa soalan berkenaan dengan pantun. 1) Apakah kriteria yang dinilai dalam pertandingan pantun kebangsaan? 2) Sekiranya tema yang diberikan ialah adat dan budaya masyarakat, sejauh manakah tema itu harus diolah/dikupas? adakah ianya secara umum atau seharusnya spesifik kepada aspek-aspek tertentu, misalnya adat perkahwinan, budaya membaca dan sebagainya? | Untuk makluman saudara, mereka yang menyertai pertandingan pantun sama ada peringkat kebangsaan atau IPTA, pantun yang dijual/beli akan dinilai berdasarkan isi, bahasa dan persembahan. Dari segi isi, penekanan kepada: 1. Ketepatan soalan/jawapan: jelas dan sesuai dengan tema 2. Pantun yang dijual mempunyai soalan 3. Jualan/belian pantun yang terkeluar daripada tema yang ditetapkan atau pantun yang berupa pelarian tidak mendapat markah. Dari segi bahasa pula, seorang pemantun hendaklah bijaksana memilih , 1. Pola rima dan suku kata 2. Terdapat kesinambungan/hubungan antara baris 1 dan 2( Keindahan unsur alam, kerenah manusia dan unsur sejarah) 3. Kemunasabahan pembayang maksud 3. Pemilihan kata( Keindahan alam, kerenah manusia dan unsur sejarah) 4. Sebutan yang jelas Dari segi persembahan pula, penyampaian seorang pemantun akan dinilai melalui, 1. Gaya persembahan seimbang dengan pantun 2. Intonansi( nada pemisah antara pembayang dan maksud) 3. Jeda( nada/hentian sebentar pada dua patah perkataan awal setiap baris) 4. Kelancaran( tanpa kegagapan dan pengulangan) Untuk makluman saudara juga , setiap rangkap pantun yang dijual atau dibeli hendaklah menepati tema yang telah ditetapkan dan kalau boleh biarlah spesifik. | Lain-lain | 18.11.2010 |
|
Tesaurus |
---|
| kriteria (kata nama,) | Bahasa Asal :Inggeris | Bersinonim dengan ukuran, penilaian., | |
|
|