Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Kebanyakan beg kelihatan serupa, sila pastikan beg anda dengan menyemak nombor daftar beg anda sebelum pulang. | Kebanyakan beg kelihatan serupa. Pastikan anda menyemak nomobor daftar beg anda sebelum anda pulang. | Tatabahasa | 24.07.2008 |
Tuan, bagaimana untuk memperkemas ayat berikut? Tiba di perkarangan sekolah, kelihatan ramai ibu bapa yang sudah sedia menunggu kepulangan anak masing-masing. | Kelihatan ramai ibu bapa yang sudah sedia menunggu kepulangan anak masing-masing di perkarangan sekolah. | Tatabahasa | 18.05.2012 |
Apakah beza antara perkataan sana dan situ? Pada pengetahuan saya, situ digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang jauh tetapi masih boleh kelihatan manakala sana digunakan untuk merujuk kepada sesuatu yang jauh dan tidak boleh kelihatan. Contoh ayat : 1.Adik saya berdiri di sana/situ. 2. Saya berjalan ke arah sana/situ. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, sana bermaksud tempat yang jauh atau yang dianggap jauh. Di sana bermaksud tempat yang jauh (dari orang yang bercakap). Situ pula ialah (kata yang menunjukkan) tempat yang tidak jauh dari orang yang berbicara). Di situ bermaksud di tempat itu. | Makna | 13.08.2011 |
Ungkapan sedikit sebanyak wajar digantikan dengan sedikit banyak. Hal ini menyalahi kebiasaan dan kelihatan bertentangan. Tolong berikan ulasan ringkas terhadap kenyataan ini. | Merujuk kepada Kamus Dewan, ungkapan yang kebiasaannya digunakan ialah "sedikit sebanyak". Mohon agar saudara dapat memberikan sedikit maklumat apakah yang dimaksudkan dengan menyalahi kebiasaan dan kelihatan bertentangan agar pihak kami dapat berkongsi maklumat tersebut serta sumber yang saudara perolehi berkaitan perkara ini. | Tatabahasa | 14.06.2007 |
Apakah jawapan yang paling tepat untuk soalan ini. Soalan 1: Pondok di kaki bukit itu tidak kelihatan dari jauh kerana di _______ kabus. A. dilindungi B diselubungi Soalan 2 : Mana satu yang betul? Para tamu atau para tetamu. | 1: Pondok di kaki bukit itu tidak kelihatan dari jauh kerana diselubungi kabus. 2: Para tamu atau para tetamu. Kedua-duanya betul, tamu ialah orang yang datang mengunjungi orang lain, manakala tetamu merujuk orang yang diundang (dijemput) untuk menghadiri jamuan. | Tatabahasa | 27.05.2009 |
Adakah ayat di bawah betul? Sekiranya ayat tersebut betul atau salah saya minta tuan terangkan sebab ayat : i. Bayi yang baru lahir itu kelihatan amat comel sekali. ii. Lampu pelita minyak tanah itu tertutup apabila ditiup angin. | i. Ayat "Bayi yang baru lahir itu kelihatan amat comel sekali" betul kerana kata penguat bebas, iaitu amat,sungguh dan sangat boleh diikuti oleh kata penguat belakang sekali. Hal ini demikian kerana kata penguat tersebut tidak mendukung maksud darjah penghabisan. ii. Ayat yang betul " Pelita minyak tanah itu padam apabila ditiup angin" | Tatabahasa | 08.08.2011 |
I Dia yang menggambarkan dirinya pelukis terkenal tanah air. II Dari hari ke sehari dia kelihatan semakin kurus. apakah kesalahan tatabahasa bagi kedua-dua soalan di atas? terima kasih | I. Dalam ayat tersebut, 'yang' tidak perlu dan ayat yang betulnya ialah 'Dia menggambarkan dirinya pelukis terkenal tanah air.' II. Dari hari ke hari dia kelihatan semakin kurus. Harap maklum. | Tatabahasa | 05.06.2008 |
Adakah kedua-dua ayat di bawah betul? 1. Hamidi memberitahu yang dia akan meletakkan jawatan di syarikat itu pada bulan hadapan. 2. Ayam-ayam peliharaan Abang Nordin kelihatan teramat lesu sejak diserang penyakit. Terima kasih. | Ayat pertama betul. Bagi ayat kedua yang betul ialah: Ayam-ayam peliharaan Abang Nordin kelihatan teramat letih atau lemah sejak diserang penyakit. | Tatabahasa | 11.06.2008 |
Salam Sejahtera. 1. Ali kelihatan ________ selepas menjalani aktiviti senaman. jawapan : segak atau segar 2. Tahun Baru Cina atau Tahun Baharu Cina Sekian, terima kasih. | 1. Jawapan yang betul ialah segar. 2. Kedua-duanya boleh digunakan. | Tatabahasa | 18.09.2013 |
Contoh signboard2 jalan yang kelihatan di pasang oleh pihak PBT > (1). J. Bangsar > Jln. Bangsar > Jalan Bangsar (2). T. Tasik Perdana > Tmn. Tasik Perdana > Taman Tasik Perdana (3). B. Tun Razak > Bdr. Tun Razak> Bandar Tun Razak (4). Jln.T.A. Rahman sepatutnya Jalan Tuanku Abdul Rahman (Nama Agong yang pertama) (5). K.Trengganu/Terengganu sepatutnya Kuala Trengganu/Terengganu (6). K.Lipis sepatutnya Kuala Lipis. Soalan saya signboard yang mana pihak PBT wajib pakai/guna apabila membuat signboard jalan. Saya syor dan cadangkan supaya semua perkataan short form tidak dibenarkan. Mohon dapat pengesahan pihak DBP dan memantau keatas perkara ini demi generasi akan datang. Sekian, terima kasih. | Saya bersetuju dengan pandangan tuan bahawasanya semua ejaan papan tanda yang hendak dipaparkan di tempat awam hendaklah disemak terlebih dahulu dengan DBP. Seelok-eloknya ejaan pada papan tanda ditulis penuh tanpa memendekkan perkataan tersebut seperti Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, Kuala Lipis dan Kampung Pandan. Penguatkuasaan terhadap penamaan di papan tanda ini juga perlu konsisten dan mendapat kerjasama daripada semua pihak yang terlibat. Terima kasih atas maklumat yang diberikan dan hal ini akan kami kemukakan kepada pihak berkuasa tempatan yang berkaitan. | Lain-lain | 19.11.2010 |