Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Assalamualaikum. Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) adalah sebuah badan jaminan kualiti pendidikan tinggi tunggal di Malaysia. Terdapat nama-nama kursus pengajian yang dikemukakan IPT, agak unik dan belum digunakan dalam sektor pendidikan. Bagi memastikan penentuan nama kursus pengajian tepat, kami ingin mendapatkan pandangan pihak tuan tentang penggunaan perkataan 'opticianary'. Benarkah terjemahan perkataan ini dalam Bahasa Malaysia 'keoptikan'? Bolehkah perkataan tersebut dieja 'opticianari' jika diterjemah secara terus kepada Bahasa Malaysia? Pihak MQA berharap mendapat nasihat dan pandangan pihak DBP terhadap perkara ini. Terima kasih. | Istilah bahasa Melayu bagi "opticianry" ialah optisianri (bidang perubatan) | Istilah | 14.07.2009 |
salam 1Malaysia. saya Lydia Chung ingin bertanya tentang kesesuaian penggunaan perkataan graduasi dalam bahasa Melayu. saya sedang mereka/membuat borang maklumat individu. pada bahagian kelayakan akademik, saya menghadapi kesulitan untuk menulis ***tarikh graduasi*** Contoh: Kelayakan Akademik : Tarikh Graduasi: sesuai tidak penggunaan graduasi dalam ayat ini. sekian terima kasih. | Untuk makluman tuan, perkataan graduasi tidak terakam dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Kami mencadangkan tuan menggunakan perkataan pengijazahan bagi menggantikan graduasi, iaitu tarikh pengijazahan. | Ejaan | 14.11.2013 |
Assalamualaikum. Tuan, agensi kami iaitu Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dipertanggungjawabkan menyediakan standard (panduan) untuk kursus pengajian yang dikendalikan di IPT. Dalam penulisan standard ini, terdapat perkataan daripada bahasa Inggeris yang biasa digunakan dalam bidang pendidikan iaitu formal, informal dan nonformal. Bagi tujuan terjemahan kepada bahasa Malaysia, adakah boleh pihak MQA menggunakan terus perkataan tersebut atau perlu juga diterjemahkan dengan sempurna kepada bahasa Malaysia? Pihak kami mohon pandangan pihak DBP dalam perkara ini. Terima kasih. | Saudara Norafizah, Untuk makluman saudara adalah lebih baik perkataan tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu memandangkan bahawa perkataan tersebut boleh diterjemahkan dan terdapat padanannya dalam bahasa Melayu, iaitu rasmi, tidak rasmi dan bukan rasmi. | Lain-lain | 11.08.2009 |
history dest finance credential | latar belakang pembiayaan hutang kelayakan | Istilah | 07.03.2012 |
Jika saya ingin memohon pekerjaan di cawangan DBP KL , apakah kelayakan utama yang diperlukan ? | Terima kasih di atas minat yang ditunjukkan untuk berkhidmat dengan DBP. Untuk makluman sdr, semua jawatan kosong (sekiranya ada) akan disiarkan di laman web DBP dan juga akan diiklankan melalui akhbar utama. Semua butiran/syarat yang diperlukan termasuklah tarikh tutup permohonan dinyatakan dengan jelas di dalam iklan tersebut. Sila rujuk laman web DBP atau iklan yang disiarkan dari masa ke masa. Seperkara lagi, dimaklumkan juga bahawa sdr boleh mengemukakan permohonan pada bila-bila masa untuk sebarang jawatan di DBP dan sekiranya ada kekosongan jawatan, permohonan sdr akan dipertimbangkan. Tempoh sah permohonan adalah selama setahun dari tarikh permohonan diterima oleh DBP.sila hubungi unit pengambilan, bahagian pengurusan personel (up. Pn Fairuz) | Lain-lain | 01.03.2009 |
1. Bolehkah istilah 'Master Trainer' digunakan secara terus sebagai nama khas kepada sesuatu kelayakan khusus. 2. Apakah perkataan paling sesuai diberikan kepada perkataan 'trainer', jika ia merujuk kepada tenaga pengajar kepada seorang jurulatih. | Istilah Master Trainer belum ada dalam sumber rujukan kami. Dalam bidang pendidikan terdapat istilah master teacher dan diterjemahkan kepada guru ahli/guru utama. Oleh itu, kami mencadangkan padanan istilah Master Trainer dalam bahasa Melayu ialah Jurulatih Utama. | Istilah | 16.11.2011 |
Assalamualaikum tuan. Saya ingin bertanya tentang penggunaan perkataan 'di mana', 'yang mana' dan 'diperolehi' dalam penulisan ayat Bahasa Malaysia. Adakah boleh digunakan perkataan tersebut? Contoh ayat "...kemahiran dan kecekapan di mana kelayakan yang diperolehi pada lazimnya..." Terima kasih. | Kata 'di mana' hanya sesuai digunakan sebagai kata tanya, contoh : Di mana awak tinggal?. Ejaan yang betul ialah diperoleh. Merujuk kepada contoh ayat yang diberikan : ... kemahiran dan kecekapan di mana kelayakan yang diperolehi pada lazimnya ... adalah salah. Cadangan kami ialah ... kemahiran dan kecekapan yang diperoleh pada lazimnya ... . | Tatabahasa | 16.06.2009 |
jelaskan dengan ringkas apakah perbezaan diantara profesion dan pekerjaan | Profesion ialah pekerjaan yang selalunya memerlukan kelayakan yang tinggi dan latihan khas, misalnya dalam bidang undang-undang, perubatan dan perakaunan. Manakala pekerjaan ialah sesuatu yang dilakukan atau diusahakan secara berterusan untuk mencari nafkah. | Makna | 26.07.2009 |
Apa itu maksud perkataan "ikhtisas" | Kamus Dewan menakrifkan ikhtisas sebagai: 1. untuk mata pencarian (berkenaan pekerjaan dan sebagainya), 2. berkaitan dengan pekerjaan atau sesuatu profesion: sijil kelayakan pelajaran dan; 3. memerlukan atau melibatkan kepandaian atau kemahiran khusus. | Makna | 20.05.2010 |
Salam, Saya terbaca berita berkaitan Akademi Latihan DBP dalam Berita Harian baru-baru ini. Saya ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai akademi berkenaan, lokasi, kursus yang ditawarkan, durasi, kos dan kelayakan untuk mengikuti kursus di situ. Terima kasih. | Semua urusan mengenai Akademi Latihan DBP sedang diuruskan mengikut perancangan.Maklumat yang anda perlukan belum boleh di maklumkan secara rasmi.Pengurusan DBP akan mengumumkan apabila semua urusan yang berkaitan sempurna di laksanakan. | Lain-lain | 15.02.2008 |