Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
kalang II; kalangan 1. lingkungan, golongan: sajak Sidang Roh oleh Kassim Ahmad mendapat reaksi yg keras drpd berbagai-bagai ~; di ~ orang Melayu; di ~ mahasiswa; di ~ negara Barat hanya Perancis berusaha mencapai matlamat dasar luar negeri;--contoh di atas adalah dari kamus dewan. 1) Menurut jawapan yang diberikan oleh pihak DBP dalam khidmat nasihat, tuan menyokong "dlm kalangan". "dlm kalangan" tidak pernah muncul dlm contoh ayat kamus dewan dan hanya muncul dlm majalah. Jadi, adakah ini bermakna contoh dari kamus dewan tidak gramatis? 2) "Puan Siti sayangkan anaknya." Penggunaan "sayangkan" gramatis atau tidak? "sayangkan" terdapat dlm kamus dewan dan adakah penggunaan ini hanya untuk pantun? | Kamus Dewan Edisi Keempat merupakan kamus umum yang pengumpulan datanya dibuat berdasarkan kajian korpus. dari segi penggunaan dalam korpus yang dikaji frasa 'di kalangan' dan 'sayangkan anak' digunakan dengan meluas. Walau bagaimanpun frasa yang lebih tepat adalah 'dalam kalangan'. Kata sendi 'di' digunakan untuk merujuk tempat. Ayat yang betul ialah Puan Siti menyayangi anaknya atau Puan Siti sayang akan anaknya. | Tatabahasa | 06.03.2008 |
Salam sejahtera. Ayat-ayat yang berikut betul? 1) Kalang cuba mengangkat bungkusan simen itu. 2) Kalang mencuba mengangkat bungkusan simen itu. 3) Dia mengangkat bersama-sama Haikal. 4) Dia mengangkat bersama Haikal. 5) Dia mengangkat bersama dengan Haikal. Terima kasih. | 1. Kalang cuba mengangkat bungkusan simen itu. 2. Ayat 3, 4, dan 5 tidak gramatis kerana tiada objek. Sekiranya ada objek, ayat 3 lebih tepat. | Tatabahasa | 01.04.2013 |
ingin saya tanyakan sama ada di kalang pelajar tahun satu atau dalam kalangan pelajar tahun satu? mana satu adalah betul. terima kasih | Yang betul ialah dalam kalangan pelajar tahun satu. | Tatabahasa | 19.04.2010 |
Selamat sejahtera . Bagaimanakah cara menentukan sesuatu ayat itu ayat majmuk? Ayat yang berikut ini ayat tunggal atau ayat majmuk? Ayat: Kalang menziarahi saudaranya, Assan, di Sri Aman. | Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, dan sebagainya. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 498. Ayat contoh yan saudara berikan bukanlah tergolong dalam ayat majmuk. | Tatabahasa | 02.01.2013 |
Salam. Antara dua perkataan ini "dalam kalangan" dan "di kalangan" yang manakah tepat untuk digunakan dalam merujuk sesuatu golongan. Hal ini kerana dalam Kamus Dewan Edisi ke-4, di bawah perkataan "kalang"(-kalangan), terdapat contoh ayat yang menggunakan perkataan "di kalangan". Manakala di bawah perkataan "dalam" ada dinyatakan perkataan seerti bagi perkataan "dalam" iaitu "di kalangan".(rujuk Kamus Dewan Edisi ke-4). Mohon penjelasan dalam hal ini. Sekian. | Frasa "dalam kalangan" dan "di kalangan", kedua-duanya boleh digunakan. Walau bagaimanapun merujuk panduan dalam buku Tatabahasa Dewan, frasa "dalam kalangan" yang gramatis kerana kata sendi nama "dalam" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak (kalangan). Sementara kata sendi nama "di" digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. | Tatabahasa | 07.09.2011 |
|
|