Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
retorik gaya bahasa perbandingan dan perulangan | Gaya bahasa perbandingan meliputi beberapa aspek, iaitu; 1. Gaya metafora-gabungan dua hal yang berbeza dan membentuk suatu pengertian yang baharu. 2. Gaya alegori- cerita yang digunakan sebagai lambang yang digunakan untuk pendidikan. 3. Gaya personifikasi- gaya bahasa yang membuat benda mati seolah-olah hidup dan memiliki sifat-sifat manusia. 4. Gaya perumpamaan- suatu perbandingan dua hal yang berbeza, namun dinyatakan sama. 5. Gaya antilesis- gaya bahasa yang membandingkan dua hal yang berlawanan. Manakala bahasa perulangan ialah gaya bahasa tulisan yang digunakan untuk menunjukkan saling atau sesuatu yang dilakukan oleh dua pihak atau berbalas-balas, sesuatu yang teramat, paling, tiruan atau waktu. | Lain-lain | 03.10.2006 |
Ke hadapan Tuan/Puan, Selamat sejahtera. Saya dengan ikhlasnya ingin meminta panduan untuk penerbitan sajak di bawah penerbitan dewan bahasa dan pustaka. Sesungguhnya, koleksi sajak ini menghampiri satu dekad lamanya dan gaya-gaya yang terkandung di dalam penulisan sajak-sajak hasilan ini amat sayang jika dibiar tersimpan dalam laci. Saya berharap mendapat peluang dan panduan untuk proses penerbitan ini. Sekian,terima kasih. Yang benar, John Chong | Saudara boleh menghantar sajak-sajak saudara itu kepada Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka untuk dinilai. Sekiranya sesuai, sajak saudara akan disiarkan dalam majalah-majalah terbitan DBP. | Lain-lain | 22.05.2011 |
ISTILAH YANG BETUL UNTUK 4 JENIS - JENIS GAYA PEMBELAJARAN (MENGIKIUT KOLB LEARNING SYLES,).. ADAKAH SAYA BOLEH DIRECT TRANSLATE DIVERGING LEARNING STYLE = GAYA PEMBELAJARAN DIVERGER, ACCOMMODATING LEARNING STYLE = GAYA PEMBELAJARAN AKOMODATOR, CONVERGING LEARNING SYLE = GAYA PEMBELAJARAN KONVERGER DAN ASSIMILATING LEARNING SYLE=GAYA PEMBELAJARAN ASIMILATOR.. MOHON BANTUAN, TQ | Untuk makluman, istilah yang istilah yang terdapat dalam pangkalan data kami adalah seperti yang berikut: 1. divergent learning style - gaya pembelajaran menyerak 2. convergent learning style - gaya pembelajaran bertumpuan 3. accomodative learning style - gaya pembelajaran penyesuaian diri 4. assimilative learning style - gaya pembelajaran berasimilasi
| Istilah | 01.03.2012 |
gaya mempersona atau gaya mempesona | Ungkapan yang betul ialah gaya mempesona. | Tatabahasa | 29.05.2012 |
saya nak tahu tentang cara menulis rujukan yang terkini. | DBP seperti penerbit lain mempunyai gaya penerbitan tersendiri. Gaya penerbitan DBP adalah mengikut Gaya Dewan. Cara menulis rujukan berdasarkan Gaya Dewan adalah mengikut Kaedah Penulis-Tarikh seperti yang berikut: (a) Nama penulis, editor atau penyusun diikuti tanda koma. (b) Tahun terbit diikuti dengan tanda noktah. (c) Judul ditulis dalam huruf condong, diikuti dengan tanda noktah. (d) Tempat terbit diikuti dengan tanda titik bertindih. (e) Nama penerbit diikuti dengan tanda noktah. Contoh: Farid M. Onn, 1980. Aspects of Malay Phonology and Morphology. A Generative Approach. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Saudara boleh merujuk Gaya Dewan terbitan DBP. | Lain-lain | 13.11.2009 |
Gaya Dewan (1995: 70) menyatakan bahawa tanda pisah ialah tanda baca yang panjangnya satu en. Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan en (én) sebagai ukuran yang sama dengan setengah saiz poin taip yang digunakan ataupun setengah em. Soalan: (1) Adakah en itu sama lebarnya dengan huruf n? (2) Jikalau tanda pisah satu en, adakah tanda sempang hanya setengah en? | - Dalam penerbitan, en merupakan unit ukuran yang lebarnya setengah huruf em, tetapi tidak semestinya sama lebar dengan huruf "n".
- Jika tanda pisah satu en, tanda sempang tidak semestinya hanya setengah en.
Dalam penerbitan, en, em dan tanda sempang mempunyai fungsi yang berbeza. Sdr boleh merujuk buku yang berkaitan, seperti Copy Editing oleh Judith Butcher (Cambridge University Press) atau melayari Internet untuk mendapatkan maklumat mengenainya. | Lain-lain | 14.01.2013 |
maksud gaya bahasa | gaya bahasa atau ragam bahasa bermaksud cara pemakaian bahasa,variasi bahasa berdasarkan penggunaannya dalam bidang-bidang tertentu seperti sukan,undang-undang, perubatan dan sebagainya. | Tatabahasa | 21.03.2008 |
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN GAYA BAHASA PERTAUTAN?? | Gaya bahasa pertautan merujuk bahasa yang digunakan untuk menunjukkan pertautan satu idea dengan satu idea yang lain bagi memperkukuh sesuatu wacana. Sila rujuk buku-buku yang ada di pasaran tentang perkara ini. | Tatabahasa | 28.02.2009 |
apakah yang dimaksudkan dengan keragaman bahasa? | Dalam bukunya bertajuk Ilmu Mengarang Melayu, Za'ba membahagikan ragam bahasa atau gaya bahasa kepada dua bahagian, iaitu gaya cakap mulut dan gaya surat. Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, ragam bahasa dibahagikan kepada tajuk-tajuk berikut : i. Ragam bahasa lisan ii. Ragam bahasa Melayu tulisan iii. Bahasa-bahasa daerah iv. Laras-laras bahasa Melayu moden. Sila rujuk buku-buku berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut. | Makna | 24.02.2008 |
Salam sejahtera. Saya nak tanya adakah DBP menyimpan sebarang maklumat terperinci mengenai gaya penulisan ilmiah (Gaya Dewan) khususnya dalam menulis nota kaki dan bibliografi? Terima kasih. | Saudara Ronil, bibliografi ditulis mengikut kaedah ini: i. Nama penulis, editor, atau penyusun diikuti dengan tanda koma. ii. Tahun terbit diikuti dengan tanda noktah. iii. Judul dicetak dalam huruf condong, diikuti dengan tanda noktah. iv. Jilid, diikuti dengan tanda noktah. v. Edisi dan cetakan, diikuti dengan tanda noktah. vi. Tempat terbit diikuti dengan tanda titik betindih. vii. Nama penerbit diikuti dengan tanda noktah. viii. Nama penterjemah, diikuti dengan tanda noktah. ix. Judul penerbitan berkala, diikuti dengan tanda noktah. x. Kata singkatan "dlm." dan "hlm." . xi. Bilangan siri, jika berkaitan, diikuti dengan tanda noktah. xii. Bentuk penerbitan, jika berkaitan, diikuti dengan tanda noktah. Nota kaki ditulis di sebelah bawah ruang teks, pada halaman yang sama. Nota kaki dipisahkan daripada teks, oleh satu garis pemisah mendatar dan ditulis santak kiri. Teks nota hendaklah ditulis sebaris dengan nombor nota. Baris berikutnya hendaklah selajur dengan ayat pertama nota itu. Nombor rujukan nota kaki di dalam teks hendaklah dalam bentuk superskrip dan ditulis berurutan, bermula dengan nombor satu bagi setiap bab. Jika di dalam sesebuah buku itu terdapat banyak nota yang panjang, bahan ini bolehlah disusun sebagai nota bab atat nota hujung. Untuk maklumat lanjut, saudara boleh merujuk buku Gaya Dewan Edisi Ketiga. | Lain-lain | 04.03.2010 |