Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Rumah buruk itu sudah dirobohkan oleh pihak Majlis bandaran Kuantan. Adakah penggunaan 'buruk' betul dalam ayat ini. | Penggunaan yang paling tepat ialah usang, iaitu Rumah usang itu dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Kuantan. Kata buruk memberikan maksud terlalu umum, iaitu tidak cantik. | Tatabahasa | 18.08.2011 |
Masalah tulisan buruk | Pada dasarnya, Khidmat Nasihat DBP (KNDBP) membantu pengguna menyelesaikan pelbagai masalah penggunaan bahasa Melayu seperti ejaan Rumi dan Jawi, perkataan dan istilah serta penyemakan bahasa. KNDBP juga turut melayan pertanyaan yang berkaitan dengan aktiviti sastera, penerbitan dan korporat. Walau bagaimanapun, terdapat juga sebilangan besar pelajar daripada IPT menghantar soalan yang berbentuk tugasan untuk dijawab oleh petugas KNDBP. Untuk makluman sdr. soalan yang berbentuk tugasan di luar skop perkhidmatan ini. Sila kemukakan soalan yang mencakup bidang perkhidmatan yang kami sediakan. | Lain-lain | 18.04.2013 |
Tuan, saya merujuk jawapan pihak tuan tentang ungkapan Quran buruk pada 17 April 2012. Saya bukan meminta agar ungkapan itu ditukar kepada Quran lama. Yang saya minta ialah pendapat pihak tuan tentang cadangan rakan saya agar ungkapan itu ditukar menjadi Quran lama. Rakan saya itu mengemukakan cadangan setelah terbaca komentar tentang Quran buruk, Quran lama dalam majalah Pelita Bahasa tahun 2009. Saya mengutamakan pandangan KN DBP apabila menjawab pertanyaan rakan/pelajar. Mohon ulasan susulan. Wassalam. | Merujuk Kamus Dewan perkataan buruk bermaksud tua dan rosak atau tidak cantik, manakala lama antaranya bermaksud telah wujud dalam jangka masa yang agak panjang atau wujud sejak dahulu lagi. Melihat kepada makna kedua-dua perkataan tersebut frasa "Quran Buruk" lebih tepat dari segi semantik berbanding dengan frasa "Quran Lama" dan frasa "Quran Buruk" telah diterima dalam bahasa Melayu untuk mengiaskan maksud tertentu. | Istilah | 17.04.2012 |
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Quran buruk ialah bahasa kiasan yang bermaksud sesuatu yang tidak boleh diharapkan atau tidak berguna lagi tetapi masih dihormati kerana sebab-sebab tertentu. Dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu pula ada peribahasa seperti Kuran (Quran) buruk: dibaca tak boleh dipersebarangan dosa. Namun, rakan saya pernah mencadangkan agar kita menukar ungkapan Quran buruk menjadi Quran lama demi menjaga kesucian Islam. Apakah pandangan pihak tuan? Terima kasih. | Terima kasih atas pandangan yang diberikan. Pendapat tuan akan saya kemukakan kepada pihak yang berkepentingan dalam pembinaan istilah. | Tatabahasa | 16.04.2012 |
rumah buruk atau rumah usang. mana lebih tepat penggunaannya | Penggunaan yang tepat ialah "rumah usang" kerana usang bermaksud sudah lama benar berbanding dengan buruk yang mempunyai maksud lebih umum iaitu tidak cantik. | Tatabahasa | 16.08.2011 |
pondok (usang / buruk) itu perlu diperbaiki secepata mungkin. yang manakah betul ? | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, usang bermaksud 1. kering dan tidak berisi (padi), kersang (rambut, tembakau, dll); 2. sudah lama benar, lama terpakai atau tersimpan, manakala buruk pula bermaksud 1. tua dan rosak (busuk), tidak cantik. Oleh itu, kedua-dua ayat tersebut adalah betul. Namun penggunaannya dalam ayat bergantung pada konteks dan situasi. | Lain-lain | 10.03.2010 |
keadaan cuaca yang buruk menyebabkan mereka terpaksa membatalkan rancangan untuk mendaki Gunung Jerai. atau keadaan cuaca yang tidak mengizinkan menyebabkan mereka terpaksa membatalkan rancangan untuk mendaki Gunung Jerai. tuan, yang manakah ayat yang lebih sesuai digunakan. TQ | Ayat yang lebih sesuai digunakan ialah 'Keadaan cuaca yang buruk menyebabkan mereka terpaksa membatalkan rancangan untuk mendaki Gunung Jerai.' | Tatabahasa | 15.08.2011 |
Kakak menggilap se------------- cawan tembaga dengan bahan penggilap yang dibubuh pada se------------- kain buruk. A. buah...helai B biji.....cebis | Ayat yang betul - Kakak menggilap sebiji cawan tembaga dengan bahan penggilap yang dibubuh pada sehelai kain buruk. | Tatabahasa | 11.08.2010 |
selain daripada perkataan reput | Buruk atau lapuk. | Makna | 18.11.2009 |
MaShaAllah. Perkataan yang selalu disebut apabila kita melihat sesuatu yang baru dan cantek akan benda-benda yang diperbuat oleh tangan manusia. Tetapi di Malaysia, perkataan ini digunakan secara menyeluruh tak kira baik ataupun buruk. Bolehkah DBP menjelaskan akan makna yang tepat perkataan tersebut dan diwar-warkan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya menggunakan perkataan "MaShaAllah" - untuk perkara yang baik sahaja dan "NauZuBilLah" - untuk musibah dan perkara yang buruk. Terima kasih banyak. | Kamus Dewan merakamkan maksud masya-Allah ialah apa yang dikehendaki Allah dan kata seruan untuk menyatakan kehairanan. Perkataan ini boleh digunakan dalam konteks positif atau negatif. Hal ini berbeza dengan kata nauzubillah yang bermaksud kita berlindung dengan bantuan Allah. Semestinya kita mohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan daripadaperkara yang buruk/kejahatan. | Makna | 27.12.2012 |