Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Soalan tentang penggunaan kata ganda, bekas-bekas pelajar @ bekas pelajar-pelajar yang mana satukah penggunaan kata ganda yang betul. | Tidak perlu menggandakan salah satu daripada perkataan tersebut, cukup sekadar "bekas pelajar" kerana frasa tersebut boleh merujuk tunggal atau jamak berdasarkan konteks ayat yang digunakan. | Ejaan | 12.08.2011 |
1. Apakah makna perkataan "mantan"? Adakah sama maksudnya dengan "bekas"? 2. Manakah ejaan yang betul, "mampan" atau "mapan" | Mantan bermakna dahulunya pernah menjawat jawatan tertentu, tetapi sekarang tidak; bekas. Bekas di sini bukan bermakna tempat meletak sesuatu. Ejaan mampan dan mapan betul. Kedua-duanya ada makna tersendiri; mampan bermakna mampu, dan mapan bermakna tidak berubah-ubah/kukuh. | Ejaan | 18.01.2008 |
Persatuan Alumni Institut Pertanian Sabah yang baru ditubuhkan ingin mendapat pengesahan mengenai penggunaan bahasa dalam "moto persatuan" dan juga "matlamat persatuan" yang telah dicadangkan. moto persatuan :- " BERWAWASAN, BERWIBAWA DAN BERWAJA" matlamat Persatuan :- 1. menaikan martabad dan imej Institut Pertanian Sabah. 2. meningkatkan taraf hidup sosial & ekonomi bekas-bekas pelajar Institut Pertanian Sabah 3. mengujudkan kemuafakatan & usahasama dikalangan bekas-bekas pelajar | Moto yang dikemukakan boleh digunakan. Matlamat : 1. Menaikkan martabat dan imej Institut Pertanian Sabah 2. Meningkatkan taraf hidup sosial dan ekonomi bekas pelajar Institut Pertanian Sabah 3. Mewujudkan semangat kemuafakatan dan usaha sama dalam kalangan bekas pelajar, | Tatabahasa | 27.03.2008 |
Apakah maksud bekas tangan | Bekas tangan bermakna: a) tandatangan; b) tulisan tangan; c) hasil buatan sendiri; d) pukulan | Ejaan | 09.08.2006 |
Soalan ini tentang nama sejenis alat tulis. Sila rujuk dokumen yang dilampirkan. Terima kasih. | Tidak ada nama khusus untuk bekas tersebut, lazimnya diungkapkan sebagai bekas pensel atau bekas pen. | Lain-lain | 15.11.2012 |
Bekas yang digunakan untuk menyiram bunga dipanggil "bekas penyiram "atau "penyiram"? | Dalam Kamus Pelajar, penyiram ditakrifkan sebagai alat untuk menyiram. Oleh itu, penyiram telah merujuk bekas alat yang digunakan untuk menyiram. | Tatabahasa | 30.03.2010 |
Penjodoh bilangan yang sesuai untuk bekas. Iaitu container untuk menyimpan makanan. | Penjodoh bilangan untuk bekas yang dimaksudkan tuan/puan ialah buah. Contohnya sebuah bekas. | Tatabahasa | 04.09.2008 |
Salam, saya ingin bertanya apakah bezanya mantan dan bekas? Siapakah yang sesuai digunakan sebagai mantan dan bekas? Terima kasih | Menurut definisi Kamus Dewan, mantan : dahulunya pernah menjawat jawatan tertentu, tetapi sekarang tidak lagi, bekas: ayahnya seorang ~ ketua pengarang sebuah penerbitan; dia ialah ~ guru besar sekolah itu. bekas :1. tanda-tanda yg ditinggalkan, kesan: ~ tapak kaki di pasir; ~-~ kudis itu menghodohkan kakinya; ~-~ darah yg terdapat pd bajunya; 2. dahulunya (sekarang tidak lagi), pernah menjadi: ~ suami; duduk bersanding dan tepung tawar adalah ~-~ adat Hindu; 3. akibat (drpd sesuatu): perkahwinan campuran antara dua golongan itu membawa ~ yg mengaibkan; ~ luka parut (sesudah sembuh luka); ~ tangan a) tandatangan; b) tulisan tangan; c) hasil buatan sendiri; d) pukulan; ~ tubuh pakaian yg sudah dipakai; Berdasarkan pentakrifan dan penggunaan kedua-dua kata ini tidak salah digunakan, namun kata mantan kini lazim digunakan untuk seseorang yang pernah menjawat jawatan tertentu. | Makna | 25.06.2009 |
Bekas pemain badminton negara itu telah menerima surat lantikan sebagai jurulatih badminton kebangsaan.(TOLONG BETULKAN) | Bekas pemain badminton negara itu telah menerima surat pelantikan sebagai jurulatih badminton kebangsaan. | Tatabahasa | 20.09.2012 |
Saya ingin mendapatkan senarai bekas Timbalan Ketua Pengarah DBP yang pernah berkhidmat untuk menyiapkan projek saya. Sekian, terima kasih. | Senarai bekas Timbalan Ketua Pengarah DBP. i. YBhg Dato' Hassan Ibrahim ii. YBhg Dato Hj Jumaat Dato' Hj Mohd Noor iii. YBhg DAto' Baharuddin Zainal iv. YBhg Dato' Dr. Hjh Nik Safiah Abd Karim v. YBhg Dr FArid Onn vi. YBhg Tuan Haji Anuar Ayob vii. YBhg Tuan Haji Shaari Abdullah viii. YBhg Tuan Haji Abu Bakar Mohamad. | Lain-lain | 13.12.2007 |