Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Salam Sejahtera, Diantara berikut yang manakah betul i) Seorang lelaki dewasa / seorang dewasa lelaki ii)Seorang remaja lelaki / seorang lelaki remaja diharap tuan dapat memberikan alasannya. Tq | Pada kebiasaannya bentuk seorang lelaki dewasa atau seorang lelaki remaja digunakan. bentuk seorang dewasa, lelaki atau seorang remaja, lelaki boleh juga digunakan bergantung pada apa yang hendak difokuskan. | Tatabahasa | 06.05.2008 |
tolong semak ayat saya... adakah ayat yang saya senaraikan ini mengandungi frasa kerja tak transitif? 1. lelaki itu menghulurkan sekeping kertas kosong kepada perempuan itu. 2. kelihatan di sedang menulis sesuatu di kertas iitu dan dihulurkan kepada lelaki itu. 3. lelaki itu membaca dan kemudian menggelengkan kepala. 4. perempuan itu merenung tajam ke arah lelaki itu. 5. dia diam seketika, sambil matanya terkelip-kelip memandang syiling wad yang kaku itu. 6. siang dan malam lelaki itu menunggu perempuan itu dengan tabah dan sabar. 7. anak di rumah, pandai-pandai sahaja unutk mengurus diri sendiri. 8. sambil tersenyum, dia menegurku mesra. 9. dia tidak sanggup meninggalkan isterinya tanpa ditemani walau sesaat pun. 10. dua belas tahun yang lalu di telah dibedah di Singapura. 11. aku sangat kagum dengan lelaki itu dan terkesan dengan kesabarannya melayani karenah isterinya yang pelbagai macam itu. 12. calang-calang suami tidak akan sanggup membelai isterinya yang terbujur di katil itu. 13. perlahan-lahan dia duduk di atas kerusi di sisi katil isterinya. 14. saya gembira ibu melawat saya. 15. ketika akau melangkah pulang aku melihat bahawa dia masih tersenyum riang. 16. dia mencapai tanganku dan menciumnya. 17. hati kecilnya tidak putus-putus mendoakan semoga dia akan pulih. 18. kita janganlah lupa untuk terus beristighfar dan reda dengan apa-apa yang berlaku,. 19. aku terkesima dan kagum dengan ketabahan isterinya,. | Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini kata kerja tak transitif yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. Walau bagaimanapun terdapat sejumlah kata kerja tak transitif yang mesti diikuti oleh pelengkap, namun unsur ini bukanlah dianggap sebagai objek (tidak boleh dipasifkan), sementara yang lainnya tidak perlu diikuti oleh pelengkap. Contoh kata kerja tak transitif berpelengkap: beransur (pulih), tinggal (di bandar), menjadi (guru), berbuat (baik), ada (keluarga) dan berbantalkan (lengan) Contoh kata kerja tak transitif tak berpelengkap: bangun, tumbang, pulang, menangis, menjerit, berkibaran, berjalan, tersenyum, terpegun, menguning, melancong dan meninggi. Sebagai seorang bakal guru saudara perlu lebih mengenali pelbagai aspek tatabahasa termasuklah kata kerja tak transitif dan kata kerja transitif. Merujuk ayat Lelaki itu menghulurkan sekeping kertas kosong kepada perempuan itu - menghulurkan ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek sebagai pelengkap. Untuk ayat yang seterusnya sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 88-90 dan halaman 385-394. | Tatabahasa | 24.03.2011 |
Tuan, Sepanjang pengetahuan kita 'tetamu' berasal daripada perkataan 'tamu', lelaki pula 'laki'. Soalannya, para tamu atau para tetamu yang betul dari segi tatabahasa? Begitu juga dengan 'tiga orang lelaki' atau 'tiga orang laki'? Soalnya, tetamu / lelaki itu jamak atau bermaksud satu? Terima aksih. | Dalam kamus Dewan lelaki sama maksud dengan laki-laki, dan diberi tafsiran sebagai jenis manusia yang menjadi pasangan kepada perempuan (tidak dinyatakan satu atau jamak). Begitu juga dengan perkataan tetamu sama makna dengan tamu yang diberi maksud orang yang diundang untuk menghadiri majlis jamuan (tidak dinyatakan satu atau jamak tetapi lazimnya tetamu sudah menunjukkan ramai undangan). Oleh itu, seorang lelaki atau dua orang lelaki boleh digunakan. | Tatabahasa | 28.05.2010 |
Lelaki yang lurus macam _______itu selalu dibuli oleh rakannya rakannya. A. pembaris B. bendul Kenapa jawapan pembaris salah? | Lurus macam bendul merupakan bahasa kiasan yang telah pun mantap penggunaannya. | Tatabahasa | 31.03.2007 |
bolehkah saudara memberikan definisi atau pengertian imej lelaki dalam karya sastera? terima kasih atas bantuan saudara. | Secara umum, imej lelaki dalam karya sastera merujuk kepada watak-watal lelaki dalam sesebuah karya sastera. Saudara boleh merujuk ciri-ciri maskulin jika ingin melihat imej lelaki dalam karya sastera yang ingn dikaji. | Lain-lain | 24.06.2009 |
sepasang anak lelaki kembar siam atau sepasang anak lelaki kembar Siam? | Ejaan yang betul ialah sepasang anak lelaki kembar siam. | Ejaan | 31.07.2013 |
Tuan, bolehkah perkataan "kemachoan" digunakan? Dalam konteks sifat macho seorang lelaki. Cth. "Kemachoan lelaki itu terserlah". Terima kasih. | Dalam Kamus Dewan edisi keempat, perkataan "maco" dilabelkan sebagai bp, iaitu bahasa perckapan. Oleh sebab itu, perkataan "maco" atau "kemacoan" tidak diterima sebagai perkataan yang rasmi dan tidak boleh digunakan. | Makna | 18.09.2012 |
1)seorang murid lelaki menyusun meja dengan kemas 2) seorang murid lelaki mengelap cermin tingkap dengan baik. adakah kedua-dua ayat ini betul? | Kedua-dua ayat tersebut betul tetapi tidak sejadi (natural) kerana frasa kerjanya membayangkan ada pelaku tertentu yang telah melaksanakan perbuatan menyusun dan mengelap. Ayat yang sesuai ialah 1) Murid lelaki itu menyusun meja dengan kemas. 2) Murid lelaki itu mengelap cermin tingkap dengan baik. | Makna | 11.05.2011 |
Salam sejahtera Saya ada kekeliruan tentang tanda baca (" ") (?) (!) (,) dan noktah. Kalau ayatnya begini: lelaki itu bertanya "mana dia pergi?". Betulkah tanda baca yang digunakan? Adakah noktah sepatutnya di dalam atau di luar tanda petik? Adakah koma selepas "bertanya" itu betul? Kalau ayatnya begini: lelaki itu menjerit, "awas kau!". Betulkah susunan tanda baca? Adakah tanda seru sepatutnya di dalam atau di luar? Kalau ayatnya begini: lelaki itu kata "aku pergi ke kedai tadi", perempuan itu pula bertanya, "kau beli apa?". Adakah tanda koma sepatutnya di dalam atau di luar tanda petik? Saya ada terbaca sesetengah tulisan begini: "saya bermalam di rumah kawan saya," kata si dia. Ada juga yang begini: "saya bermalam di rumah kawan saya", kata si dia. Mana satu penggunaan tanda baca yang betul? | Penggunaan tanda petik (" ")yang betul ialah: a. "Mana dia pergi?" tanya lelaki itu. b. Lelaki itu bertanya, "mana lelaki itu?" c. "Saya bermalam di rumah kawan saya," kata si dia. Tanda petik mengapit keseluruhan ayat termasuk tanda baca yang lain yang menunjukkan ayat tersebut sama ada ayat tanya atau ayat seru. Untuk memahami lebih lanjut, puan boleh merujuk buku Gaya Dewan terbitan DBP untuk penggunaan tanda baca yang betul. | Tatabahasa | 20.09.2013 |
Salam sejahtera, Adakah kedua-dua ayat di bawah juga betul? Ali kenal benar akan lelaki yang sedang berbual-bual dengan ayahnya. Ali kenal amat akan lelaki yang berbual-bual dengan ayahnya. sekian. | Kedua-dua ayat adalah salah. Ayat yang betul ialah: 1. Ali amat mengenali lelaki yang berbual dengan ayahnya. 2. Ali benar-benar mengenali lelaki yang sedang berbual-bual dengan ayahnya. | Tatabahasa | 11.01.2012 |