Salam, Soalan saya merujuk kepada ayat di bawah: "Beg udara menghalang pemandu dan penumpang daripada merempuh stereng dan papan pemuka dengan memanjangkan masa impak semasa perlanggaran." Adakah perkataan 'merempuh' sesuai digunakan? Jika tidak, apakah perkataan yang sesuai untuk menggantikannya? Terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, perkataan"rempuh" membawa maksud perbuatan melanggar seseorang atau sesuatu, biasanya dengan agak kuat sehingga terbalik, cedera, rosak dan sebagainya. Oleh itu, perkataan "merempuh" dalam ayat ini boleh digunakan. | Tatabahasa | 21.02.2022 |
Assalamualaikum & selamat pagi, Apa beza kata tunggal dan kata dasar? Sefaham saya, kata tunggal ialah kata yang tidak menerima sebarang imbuhan. Contohnya seperti: pergi, bendera, hinggap, singgah. Manakala kata dasar pula sefaham saya ialah kata yang dasar bagi perkataan yang menerima imbuhan. Namun, dalam buku teks SJK BM Tahun 2, ditulis contoh bagi kata dasar ialah masak, agama. Contoh bagi kata tunggal pula ialah cat, krim, ambil, suara dan suka. Boleh pihak tuan/puan jelaskan? Terima kasih. | 1. Membezakan kata tunggal dengan kata dasar satu langkah yang menyulitkan kefahaman sebab kata tunggal ada juga bentuk dasarnya. 2. Terdapat empat jenis/bentuk kata: kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Keempat-empat jenis/bentuk kata ini ada kata atau bentuk dasarnya. 3. Kata tunggal ialah bentuk kata yang mempunyai hanya satu bentuk dasar, iaitu tidak menerima apa-apa imbuhan, misalnya *yu, cat, buku*. 4. Kata dasar ialah kata yang berpotensi menerima sebarang imbuhan. Kata tunggal *buku* boleh menerima imbuhan akhiran *-kan* lalu terbentuk *bukukan*. 5. Jelas, kata tunggal boleh berdiri sendiri tanpa imbuhan. Bentuknya sama ada satu suku kata (misalnya bab) atau lebih. 6. Konsep kata dasar timbul apabila pengguna bahasa mahu menganalisis makna kata terbitan, misalnya *nyanyikan* dapat dicerakinkan kepada kata dasar *nyanyi* dengan imbuhan akhiran kata kerja *-kan*. Secara analoginya: Membandingkan kata tunggal dengan kata dasar seperti membandingkan kereta dengan stereng. Sepatutnya kita membandingkan kereta A dengan kereta B dan sebagainya. | Tatabahasa | 16.01.2018 |