Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
lebuh-lebuh raya? lebuh raya-lebuh raya? pasar-pasar raya? pasar raya-pasar raya? yang mana betul? terima kasih. | Penggunaan yang betul ialah lebuh-lebuh raya dan pasar-pasar raya. Walau bagaimanapun perkataan ini tidak digandakan kerana untuk memastikan sama ada perkataan tersebut dalam bentul tunggal atau jamak boleh dilihat kepada keseluruhan ayat. Ayat "Perjalanan ke rumahnya melalui sebatang lebuh raya ..." sudah pasti dalam lebuh raya tersebut dalam bentuk tunggal dan ayat "Pasar raya di seluruh negara akan menganjurkan ..." sudah pasti banyak pasar raya yang terlibat. | Ejaan | 20.06.2011 |
Adakah kosa kata "pan" sudah menjadi kosa kata bahasa Melayu? Contohnya Lebuh Raya Pan Borneo. Di Singapura misalnya, Pan Island Expressway (PIE) diterjemahkan sebagai Lebuh Raya Rentas Pulau (PIE). Adakah sepatutnya Lebuh Raya Pan Borneo diterjemahkan sebagai Lebuh Raya Rentas Borneo? | Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, perkataan pan ialah awalan asing yang membawa maksud seluruh atau segenap dan juga alat untuk menggoreng. Perkataan pan telah diterima pakai dalam bahasa Melayu seperti dalam pan-Afrika dan pan-Asia. Jika mengikut padanan maksud ayat, Lebuh Raya Pan Borneo diterjemahkan sebagai Lebuh Raya Seluruh Borneo. Walau bagaimanpun, perkataan tersebut telah didaftarkan/ digazetkan. | Istilah | 29.03.2018 |
LEBUH RAYA MENGHUBUNGI BANDAR KARAK DENGAN KUANTAN SUDAH SIAP. IMBUHAN MENG-...-I BETULKE DALAM AYAT INI? | Yang betul ialah 'menghubungkan'. | Tatabahasa | 17.08.2009 |
"Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai" atau "Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai"? | Ejaan yang betul ialah "Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai". | Ejaan | 18.08.2011 |
Saya ingin mendapatkan terjemahan untuk istilah berikut: a) user-pay - konteks ayat: projek lebuh raya berkonsep 'user-pay' - pengguna lebuh raya yang akan menyumbang kepada hasil kutipan pengendali lebuh raya. b) more interconnected - konteks ayat: keadaan ekonomi dan hubungan dagangan dunia Sekian, terima kasih. | Istilah user-pay dan more interconnected masih belum ada dalam pangkalan data kami, cadangan bagi terjemahan user-pay ialah bayaran pengguna manakala more interconnected pula ialah saling berkait atau saling berhubung. | Istilah | 12.10.2018 |
Apakah terjemahan yang paling tepat bagi "Central Spine Road / Expressway"? Adakah "Jalan / Lebuh Raya Tulang Belakang Tengah"? | Padanan bahasa Melayu bagi Central Spine Road ialah Lebuh Raya Utama Tengah dan Expressway ialah Lebuh Raya. | Makna | 25.10.2010 |
Salam. Ejaan sebenar bagi KM 0 TELOK MELANO LEBUHRAYA PAN BORNEO SARAWAK. Ejaan Lebuhraya atau lebuh Raya? Terima Kasih | Ejaan yang betul ialah lebuh raya (ejaan dijarakkan). Contoh: KM 0 Teluk Melano Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak. Kekecualian berlaku jika kata/nama tersebut telah diwartakan atau digazetkan oleh kerajaan, seperti Keretapi Tanah Melayu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (ejaan keretapi dan bandaraya dirapatkan). | Ejaan | 09.09.2023 |
Lebuh raya itu menghubungi Seremban dengan Kuala Lumpur atau Lebuh raya itu menghubungkan Seremban dengan Kuala Lumpur Anak emas-anak emas atau Anak-anak emas | Saudara, Perkataan yang betul ialah menghubungkan dan anak-anak emas. | Tatabahasa | 02.10.2009 |
Yang mana betul? A) Pasaraya Jusco B) Pasar Raya Jusco Yang mana betul? A) Leburaya Persekutuan B) Lebuh Raya Persekutuan Terima kasih | Saudara, Ejaan yang betul adalah seperti yang berikut: i. Pasar Raya Jusco ii. Lebuh Raya Persekutuan Kedua-dua perkataan pasar raya dan lebuh raya ialah kata majmuk dan dieja sebagai dua perkataan. | Ejaan | 08.02.2010 |
Pertanyaan berhubung penggunaan tanda "-" sama ada dijarakkan atau dirapatkan dengan contoh-contoh seperti berikut: (i) Lebuh Raya Kuantan-Segamat atau Lebuh Raya Kuantan - Segamat? (ii) "...laluan penerbangan Kuala Lumpur-Singapura" atau ...laluan penerbangan Kuala Lumpur - Singapura"? (iii) perkhidmatan bas ekspres Kuala Lumpur-Johor Bahru atau perkhidmatan bas ekspres Kuala Lumpur - Johor Bahru? | Pengunaan tanda pisah (–) dalam ketiga-tiga contoh ayat yang diberikan perlu dijarakkan. | Tatabahasa | 30.11.2020 |