Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Salam sejahtera. Apakah perbezaan huru-hara dan haru-biru dari segi penggunaan? Harap dapat keterangan yang jelas. Terima kasih. | Haru-biru ialah haru-hara, huru-hara, kacau-bilau, porak-peranda, kekalutan, kerusuhan: kota yang dahulunya sangat tenang telah menjadi haru-biru; Mengharu-birukan 1. menimbulkan kerusuhan (kekacauan dan lain-lain), mengelam-kabutkan, mengacau-bilaukan: rusuhan itu telah mengharu-birukan suasana di bandar itu; 2. menyebabkan sangat gelisah (runsing dan sebagainya): yang sangat mengharu-birukan fikirannya ialah perceraian anaknya; masalah itu mengharu-birukan fikirannya; keharu-biruan keadaan haru-biru: keharu-biruan yang berlaku dalam mimpinya itu pasti akan menambah tekanan jiwanya. Huru-hara ialah dalam keadaan tidak tenteram, kacau-bilau: negeri yang aman akan huru-hara akibat hasutan daripada anasir-anasir komunis; 2. dalam keadaan kelam-kabut (tidak keruan dan sebagainya): dia bimbang kalau diisytiharkan pada waktu itu, akan huru-haralah tentera yang berperang di bawah pemerintahannya; 3. bp berjalan dengan tidak tentu tujuan: janganlah huru-hara ke sana ke mari dengan kawan-kawan pada waktu malam; 4. keadaan kacau-bilau: ahli nujum meramalkan bahawa huru-hara akan berlaku di negeri itu dalam tahun 1990-an; | Tatabahasa | 08.07.2013 |
Pejabat itu______setelah digeledah oleh perompak malam tadi. A. Haru-biru B. Hiruk-pikuk C. Tunggang-langgang D. Punah-ranah Apakah jawapan bagi soalan ini? Tolong berikan penjelasan. Terima kasih | Jawapan yang tepat ialah punah-ranah. Punah ranah bermaksud habis rosak sama sekali. | Tatabahasa | 20.12.2013 |
Jawapan yang manakah tepat? 1) Cikgu Halim terperanjat apabila melihat keadaan makmal komputer yang ______________ (a)haru-biru (b)remuk-redam (c)tunggang-langgang | Jawapan yang sesuai ialah tunggang-langgang | Tatabahasa | 07.12.2015 |
Assalamualaikum tuan, Saya ingin bertanya berkaitan perkataan raya. Kebanyakan kata nama yang bergabung dengan raya akan membentuk kata majmuk. Cuma, terdapat kekeliruan berkaitan perkataan kaya raya yang dikategorikan dalam kata ganda berentak, iaitu kaya-raya. Bolehkah tuan terangkan proses pembentukan kata tersebut yang tergolong sebagai kata ganda berentak dengan lebih lanjut? | Walaupun perkataan “kaya” dan “raya” kedua-duanya memiliki maksud yang tersendiri, namun perkataan “kaya-raya” yang membawa maksud sangat kaya termasuk dalam kata ganda berentak. Kata ganda berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Maka, kata ganda “kaya raya” perlu dieja sebagai “kaya-raya”. Contoh lain kata ganda berentak ialah “hina-dina”, “gundah-gulana”, “haru-biru” atau “kacau-bilau”. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 986, Kamus Dewan Edisi Keempat (DBP, 2015), halaman 692 dan buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2008), halaman 138.
| Tatabahasa | 17.01.2024 |
|
|