Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
1)Setelah enam bulan (melanjut/melanjutkan) pelajaran di luar negara,Mashita merindui keluarganya yang berada di Malaysia. 2)(Sempena/Bersempena dengan) hari raya Aidilfitri pada tahun ini,ayah membeli pakaian baharu untuk kami semua. 3)Pemain badminton perseorangan utama negara telah tewas (di/pada) peringkat separuh akhir dalam kejohanan itu kepada pemain China. Tolong betulkan.Terima kasih. | 1. Setelah enam bulan melanjutkan pelajaran di luar negara, Mashita merindui keluarganya yang berada di Malaysia. 2. Bersempena dengan hari raya Aidilfitri pada tahun ini,ayah membeli pakaian baharu untuk kami semua. 3. Pemain badminton perseorangan utama negara telah tewas pada peringkat separuh akhir dalam kejohanan itu kepada pemain China. | Tatabahasa | 15.07.2012 |
Saya ingin melakukan kajian data korpus dan memerlukan data korpus bagi majalah Dewan Bahasa keluaran sepanjang tahun 2008 atau enam bulan pertama tahun 2009. Carian perkataan bagi data korpus secara online setakat ini hanya memaparkan dapatan sehingga tahun 2005 sahaja. Bagaimana saya boleh mendapatkan data korpus bagi majalah Dewan Bahasa yang terkini? | Terima kasih atas minat sdr. dalam kajian seumpama ini. Buat masa ini, data Majalah Dewan Bahasa yang ada di dalam pangkalan data kami ialah Dewan Bahasa Januari-Disember 1988 dan Julai-Oktober 2002 sahaja dan data ini belum dipindahkan ke sistem korpus dalam talian DBP. Ini bermakna sdr belum dapat mencapai dan memproses data ini melalui laman Web DBP. Oleh yang demikian, sekiranya sdr. berhasrat untuk menggunakan data yang ada, sila hubungi Puan Norhafizah Mohamed Husin hafizah@dbp.gov.my, Bahagian Penyelidikan Bahasa, untuk urusan lanjut. Terima kasih. | Lain-lain | 19.07.2009 |
5. Pengerusi juga mengucapkan tahniah kepada ahli JLAKS yang menerima pingat dan darjah kebesaran seperti berikut: 6. Pengerusi turut mengimbas kembali aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan bagi tempoh enam bulan kedua tahun 2013 seperti berikut: 7. Pengerusi seterusnya memaklumkan terdapat beberapa lagi aktiviti bagi tahun 2013 yang dirancang dan bakal dilaksanakan seperti berikut: a. 15 Nov - Perbarisan Persaraan TPTL, Serah Tugas TPTL dan Majlis Jasamu Dikenang di KDSG. b. 30 Nov - Hari Keluarga Markas Tentera Laut di Kompleks Sukan Air, Putrajaya. | Tidak ada pertanyaan yang dikemukakan. Maklumat yang tuan berikan berkaitan dengan minit mesyuarat. Untuk makluman tuan, dalam penulisan minit mesyuarat, Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam 2/1992 menjadi rujukan utama. Minit mesyuarat ialah dokumen sulit jabatan dan format minit mesyuarat lazimnya ditentukan oleh jabatan masing-masing. Walau bagaimanapun pada kelazimannya dalam ruangan tindakan dimasukkan nama pegawai yang berkenaan (tanpa nama jawatan). Untuk maklumat lanjut, tuan boleh merujuk buku Bahasa Laporan oleh Asmah Haji Omar, terbitan DBP. Tuan juga boleh merujuk buku tatabahasa atau laman web kami untuk melihat contoh pembentukan dan penggunaan kata yang betul bagi memastikan ayat yang digunakan itu tepat. | Lain-lain | 13.01.2014 |
Apakah padanan bagi "weaning diet". Melalui semakan kami, perkataan "weaning" ialah "bercerai susu". Oleh itu, adakah "weaning diet" ialah "diet bercerai susu" dan apakah yang dimaksudkan. | Padanan yang sesuai bagi istilah weaning diet ialah makanan pelengkap iaitu makanan pepejal yang diperkenalkan kepada bayi berusia enam bulan yang masih menyusu untuk menambahkan nutrisi. Diet bercerai susu bermaksud bayi diperkenalkan makanan selain susu ibunya dengan pengambilan diet yang seimbang atau mengikut peraturan pemakanan yang ditetapkan. | Istilah | 18.07.2021 |
Adakah perkataan "progressively diversified diet' dalam ayat di bawah ini diberikan padanan yang betul? Processed cereal-based foods for infants and young children 391. (1) Processed cereal-based foods for infants and young children (a) are intended for feeding infants as a complementary food generally from the age of six months onwards, taking into account infants individual nutritional requirements, and for feeding young children as part of a progressively diversified diet; Makanan diproses yang berasaskan bijirin untuk bayi dan kanak-kanak kecil 391. (1) Makanan diproses yang berasaskan bijirin untuk bayi dan kanak-kanak kecil (a) adalah bertujuan untuk diberi makan kepada bayi sebagai makanan pelengkap biasanya daripada umur enam bulan ke atas, dengan mengambil kira keperluan pemakanan bayi secara individu, dan untuk diberi makan kepada kanak-kanak kecil sebagai sebahagian daripada diet progresif pelbagai | Padanan bahasa Melayu yang sesuai bagi progressively diversified diet ialah diet perkembangan pelbagai atau diet tumbesaran pelbagai. | Penyemakan dan penterjemahan | 22.07.2021 |
Saya seorang penulis baru dan ingin menerbitkan novel saya melalui DBP. Untuk tujuan itu saya telah menyertai bengkel penulisan yang dianjurkan oleh DBP Wilayah Selatan. Sebelum menyertai bengkel saya telah memberikan sebuah novel karangan saya namun setelah dinilai oleh panel penilai (panel kursus), Puan Rozninah Abd Azid, novel itu telah ditolak kerana tidak memenuhi aspek yang diperlukan oleh DBP serta susunan bahasa yang tidak betul. Kemudian setelah selesai bengkel, saya membuat novel yang lain pula yang bersesuaian dengan aspek yang diperlukan oleh DBP (seperti unsur budaya, kearifan setempat dan lain-lain). Mereka telah menilai semula dan mendapati karya itu telah memenuhi apa yang DBP perlukan. Setelah itu mereka (melalui Puan Azura Mohd Khali DBP Wilayah Selatan), telah menghantar karya saya ke DBP Pusat. Namun sehingga sekarang setelah lebih enam bulan novel saya itu tidak mendapat apa-apa response dari DBP pusat. Soalan saya, apakah status novel saya itu? Siapakah yang perlu saya hubungi? Untuk pengetahuan, novel saya itu berjudul Mutiara Hitam. Saya harap persoalan saya mendapat jawapannya daripada pihak DBP pusat di Kuala Lumpur. Sekian Terima Kasih, Kerjasama daripada pihak anda sangat-sangat saya harapkan Abd Aziz Hamid Mutiara Hitam. Sekian, terima kasih. | Salam sejahtera, Manuskrip Mutiara hitam Dimaklumkan bahawa, manuskrip Mutiara hitam sudah selesai penilaian oleh DBP Wilayah Selatan dan diterima untuk dihantar ke DBP Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, sebelum dihantar ke DBP Kuala Lumpur, penulis perlu membuat beberapa menambahbaik pada manuskrip tersebut, iaitu penambaikan pada dialog, dan penambahan maklumat tentang seni ukiran bagi memantapkan lagi manuskrip tersebut. Untuk makluman penulis juga, mohon untuk penghantaran manuskrip akan datang disertakan dengan maklumat peribadi lengkap agar mudah dihubungi oleh pihak editor. Manuskrip yang dihantar hanya menyertakan nama penulis tanpa alamat dan nombor telefon untuk dihubungi. Walau bagaimanapun, Editor DBP Wilayah Selatan, Puan Norzuzilwati binti Sulaiman, telah mendapatkan maklumat penulis melalui fail lama dan berjaya menghubungi isteri penulis untuk memaklumkan kepada penulis tentang penambahbaikan manuskrip berdasarkan cadangan yang diberikan oleh penilai. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 02.10.2020 |
Perkataan "nutritionally adequate" dalam peruntukan di bawah ini dipadankan dengan "berzat secukupnya" manakala dalam peruntukan yang lain perkataan "nutritionally" dipadankan pula dengan dengan pemakanan. Melalui semakan kami, perkataan nutritionally seperti nutritionally-related disease dipadankan dengan penyakit berkaitan pemakanan. Oleh itu, apakah padanan bagi "nutritionally adequate" dan "nutritionally available carbohydrates" 389A. (2) Follow-up formula shall be nutritionally adequate to contribute to normal growth and development when used in accordance with its direction for use. 389A. (2) Rumusan susulan hendaklah berzat secukupnya untuk menyumbang kepada tumbesaran dan perkembangan yang normal apabila digunakan mengikut arahan penggunaannya. 389A.(6) Follow-up formula shall contain nutritionally available carbohydrates suitable for the feeding of infant of six months and children in such quantities as to adjust the product to the energy density in accordance with the requirements set out in subregulation (4). 389A.(6) Rumusan susulan hendaklah mengandungi pemakanan karbohidrat sedia ada yang sesuai untuk makanan bayi yang berumur enam bulan dan kanak-kanak kecil dalam kuantiti tertentu supaya keluaran diselaraskan dengan kandungan tenaga mengikut kehendak yang dinyatakan dalam subperaturan (4). | Padanan kata bahasa Melayu bagi "nutritionally adequate" ialah cukup berzat. Padanan kata bahasa Melayu bagi "nutritionally available carbohydrates" ialah pemakanan berkarbohidrat atau pemakanan tersedia karbohidrat. Pihak puan juga boleh merujuk dan menghubungi Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan penterjemahan. | Lain-lain | 18.07.2021 |
Mohon pencerahan berhubung : 1. Perbezaan kata 'memerhatikan' dengan 'memperhatikan' dan cth penggunaan yang tepat. 2. penggunaan kata 'memakan', 'memakankan', dan 'makan'. Terima kasih | Jawapan 1 Mengikut takrifan Kamus Dewan Edisi Keempat memperhatikan sama maksud dengan memerhatikan. Memperhatikan ialah kata terbitan daripada kata dasar hati dan ditambah apitan memper_kan, manakala memerhati ialah kata terbitan daripada kata dasar perhati dan ditambah awalan me_kan,dan kedua-duanya membawa makna yang sama, iaitu mengendahkan. Penggunaan yang betul ialah memerhatikan yang bermaksud mempedulikan, mengendahkan, menaruh minat, mengawasi, atau menjaga. Kata memperhatikan tidak digunakan kerana awalan 'Memper -' lazimnya digabungkan dengan kata nama (memper + alat = memperalat), kata adjektif (memper + besar = memperbesar), dan kata sendi (memper + oleh = memperoleh). Contoh ayat ialah Pegawai polis sedang memerhatikan setiap pergerakan penjenayah itu semenjak minggu lepas. Jawapan 2 Memakan Perkataan memakan biasanya digunakan dalam menyampaikan maksud mengambil (contoh ayat, Proses baik pulih rumah itu memakan masa enam bulan), merosakkan, membinasakan, memusnahkan (contoh ayat, Anai-anai telah memakan tiang rumah usang itu), dan mematikan (contoph ayat, Dalam permainan dam aji, pemain yang dapat memakan lawannya yang paling banyak dinobatkan sebagai pemenang) Memakankan Perkataan memakankan mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat mempunyai dua maksud. Pertama, memasukkan benang pakan pada kain yang ditenun. Kedua, mengusahakan supaya sesuatu dimakan atau memakan untuk seseorang. Makan Perkataan makan digunakan untuk menyampaikan pelbagai maksud. Pertama, bermaksud memamah serta menelan makanan atau mengunyah sesuatu. Kedua, merujuk kepada rezeki (contoh ayat, Dia tidak dapat mencari makan hari ini kerana teksinya rosak). Ketiga, bermaksud menggunakan, menghabiskan atau memerlukan (contoh ayat, Projek membina jambatan itu makan belanja yang besar). Keempat, makan merujuk kepada melukai atau menembusi (contoh ayat, Tikaman kerisnya tidak makan). Kelima, bermaksud bekerja seperti yang dijangkakan (contoh ayat, Brek basikal itu tidak lagi makan). Keenam, bermaksud dapat masuk (contoh ayat, Paku itu hanya setengah inci masuk ke dalam papan. Ketujuh, bermaksud mengikut atau menerima (contoh ayat, Inilah jadinya kalau orang yang tidak makan nasihat). Kelapan, bermaksud menggelapi atau mengambil secara haram (contoh ayat, Pegawai perumahan itu kuat makan duit). | Makna | 25.02.2014 |
Assalamualaikum. Di sini terdapat beberapa soalan yang ingin saya tanyakan mengenai salah atau betul penggunaannya. Diharap pihak DBP dapat membantu. 1. hari ini hari (ke-40) ... @ keempat puluh... 2. pada usia (sepuluh) tahun... @ 10 tahun... 3. setiap (10, 15) hari... @ sepuluh, lima belas hari... 4. dia beri Amir (RM 20)... @ dua puluh ringgit... 5. harga sekeping kuih, (40 sen)... @ empat puluh sen... 6. hari (ke-29 April)... @ hari kedua puluh sembilan April.. 7. umurnya (1200) tahun @... seribu dua ratus.. 8. 20 sungai... @ dua puluh 9. siang kelabu dalam gerimis (Enam Mei)..@ 6 Mei... 10. hari ini hari ke dua puluh tiga Jun, musim 1895 @ hari ini 23 Jun, musim 1895. Terima kasih atas perhatian dan bantuan pihak DBP. | Nombor yang kurang daripada sepuluh hendaklah dieja sepenuhnya (kecuali dalam ayat matematik atau teknik), manakala nombor 10 ke atas boleh dicetak dengan angka. Cara penulisan yang betul ialah: 1. hari ini hari ke-40; 2. pada usia 10 tahun; 3. setiap 10, 15 hari; 4. dia beri Amir RM20; 5. harga sekeping kuih, 40 sen; 6. hari ke-29 dalam bulan April/29 April; 7. umurnya 1200 tahun; 9. siang kelabu dalam gerimis 6 Mei (tarikh); 10. hari ini hari ke-23 dalam bulan Jun, tahun 1895/hari ini 23 Jun, tahun 1895. | Tatabahasa | 07.04.2011 |
|
Tesaurus |
---|
| Tiada maklumat tesaurus untuk kata enam bulan |
|
Puisi |
---|
|
Duduk bermain di tepi kolam, Ada juga memasang lukah; Kita bertunang selama enam bulan, Lepas itu bolehlah menikah.
Lihat selanjutnya... |
|