Nadawiy, Abu al-Hasan al- (1333 H / 1914 M ), pendakwah besar Islam yang aktif. Nama penuhnya ialah Abu al-Hasan Ali al-Husniy al-Nadawiy. Dia lahir di kampung Tikyah dalam daerah Ray Barili, India. Ayahnya meninggal dunia semasa dia berumur sembilan tahun. Pendidikannya diuruskan oleh abangnya yang sulung iaitu Abd al-Ali yang merupakan pengetua Nadwah al-Ulama. Al-Nadawiy belajar al-Qur'an di rumah dan menghafaznya. Dia mula mempelajari bahasa Arab, Parsi dan Inggeris ketika berumur 18 tahun. Kemudian dia melanjutkan pelajaran di Fakulti Sastera Arab di Universiti Lucknow dan merupakan pelajar yang paling muda. Dia mempelajari hadith di Nadwah al-Ulama selama dua tahun, kemudian menjadi pensyarah di Dar-al Ulum iaitu pusat pengajian lanjutan dari Nadwah al-Ulama. Al- Nadawiy menyumbang tulisannya dalam majalah Arab yang berjudul al-Diya yang dikeluarkan oleh Nadwah al-Ulama. Dia kemudiannya menjadi ketua editor majalah al-Nadwah al-Ilmiyyah yang berbahasa Urdu seperti majalah al-Tamir. |