Abu Hayyan al-Tawhidiy (310 H. 414 H./922 M. 1023 M.), salah seorang sasterawan dan pemikir yang paling terkenal pada abad ke-4 H. Nama penuhnya ialah Ali ibn Muhammad ibn Abbas. Yaqut al-Hamawiy menyifatkannya sebagai ahli falsafah dan sasterawan. Namun demikian, dia diabaikan dan seolah-olah tidak dikenali oleh ahli sejarah zamannya. Sikap tidak mahu mengenalinya ini berterusan sehingga Yaqut menulis mujam atau ensiklopedianya yang masyhur itu. Dalam mujam tersebut Yaqut menceritakan tentang Abu Hayyan al- Tawhidiy, dan menyatakan tentang kehairanannya tentang sebab orang yang terdahulu tidak mengendahkan seorang tokoh penulis yang begitu penting seperti Abu Hayyan al-Tawhidiy. Yaqut menulis tentang Abu Hayyan al-Tawhidiy berdasarkan bahan-bahan yang ditulis oleh Abu Hayyan al-Tawhidiy sendiri tentang dirinya sebagaimana yang tercatat dalam karya-karyanya. |