Kesusasteraan dalam pengertian kata yang luas bermaksud apa-apa sahaja bentuk susunan kata yang bermakna. Istilah bagi susunan seperti ini dinamakan teks. Mengikut fahaman ini, kesusasteraan termasuk buku komik, cerita rakyat, buku panduan pelancong dan juga novel, drama dan puisi. Dalam pengertian yang lebih sempit, mungkin terdapat pelbagai bentuk kesusasteraan. Kita mungkin memperkatakan kesusasteraan yang ditulis dalam bahasa yang tertentu seperti kesusasteraan Perancis atau kesusasteraan dari sesebuah negara seperti kesusasteraan Amerika. Kita juga sering memperkatakan kesusasteraan dari sesuatu zaman, seperti kesusasteraan Zaman Renaissance. Kita juga mungkin merujuk kepada kesusasteraan sesuatu perkara seperti kesusasteraan perkebunan atau kesusasteraan saintifik. |