Paraguay ialah negara di tengah-tengah daratan yang terletak tidak jauh dari bahagian tengah Amerika Selatan, yang dikelilingi oleh tiga buah negara, iaitu Argentina, Bolivia dan Brazil. Sungai Paraguay mengalir melalui Paraguay dari utara ke selatan dan membahagikan negara tersebut kepada dua wilayah bumi yang sangat berbeza. Di sebelah barat sungai ini ialah Chaco, sebuah kawasan rata yang tidak ramai penduduknya dan terdiri daripada rumput kasar, hutan semak samun, dan rawang masin. Paraguay Timur sebaliknya mempunyai bukit-bukau yang beralun, tanah yang subur dan hutan tebal. |