Surah al-Nisa ialah salah satu daripada surah Madaniyyah, surah yang keempat mengikut susunan surah-surah al-Quran dan mengandungi 176 ayat. Ia dinamakan al-Nisa (wanita) kerana di dalam surah ini terdapat banyak hukum yang berkaitan dengan wanita sedangkan hukum-hukum sebegini tidak terdapat dalam surah-surah lain. Surah al-Nisa juga disebut surah al-Nisa al-Kubra berbeza dengan surah al-Nisa al-Sughra yang juga dikenali dalam al-Quran sebagai surah al-Talaq. Surah al-Nisa ini seperti juga surah-surah Madaniyyah lain, membahaskan secara terperinci mengenai hukum-hukum syariah yang mengatur kehidupan dalaman serta luaran kaum Muslimin iaitu tanggungjawab, hukum-hukum syariah, menceritakan mengenai asas-asas penting yang bersangkutan dengan kaum wanita, rumah tangga, keluarga, negara dan masyarakat. |