Bola sepak Amerika ialah sejenis sukan berpasukan yang menarik yang dimainkan terutamanya di Amerika Syarikat dan Kanada. Sukan ini dimainkan oleh pelajar di sekolah rendah, sekolah menengah, kolej dan pasukan profesional. Berjuta-juta orang membanjiri stadium pada setiap musim perlawanan untuk melihat pasukan pilihan mereka beraksi. Berjuta-juta lagi peminat menonton perlawanan antara pasukan-pasukan kolej dan pasukan yang bermain dalam dua liga profesional yang utama, iaitu Liga Bola Sepak Kebangsaan (National Football League NFL) Amerika Syarikat dan Liga Bola Sepak Kanada (Canadian Football League CFL) di televisyen. Di Amerika Syarikat, bola sepak ini dimainkan oleh dua pasukan yang setiap satunya mempunyai 11 orang pemain. Di Kanada, setiap pasukan mempunyai 12 orang pemain. Setiap pasukan mendapatkan mata dengan membuat larian dan hantaran play (manuver) untuk membawa sebiji bola yang lonjong melintasi garisan gol lawan. Larian atau hantaran seperti ini menghasilkan touchdown. Semasa permainan berlangsung, kawalan bola berpindah tangan antara dua pasukan tersebut. Pasukan yang memiliki bola ialah pasukan penyerang. Pasukan yang satu lagi ialah pasukan pertahanan. Pasukan pertahanan akan cuba menghalang pasukan penyerang daripada memungut mata. |