Titan ialah dewa-dewa pertama dalam mitologi Yunani. Kebanyakan mereka, dilambangkan dalam bentuk manusia, mewakili fenomena semula jadi seperti bumi, langit dan matahari. Sebelum itu, mengikut mitologi yang sama, alam semesta ini hanyalah satu kekosongan yang dipanggil Chaos. Titan yang pertama ialah Dewi Gaea, iaitu bumi. Dewi ini terbit daripada Chaos dan melahirkan Dewa Uranus, iaitu langit. Gaea kemudian berkahwin dengan Uranus. Gaea dan Uranus mempunyai banyak anak. Yang bongsu dan yang paling penting ialah Dewa Cronus, yang berkahwin dengan adik perempuannya, Dewi Rhea. Cronus menggulingkan Uranus dan menjadi raja segala dewa. |