Abu Hurayrah (21 S.H.59 H./602 M.679 M.), salah seorang sahabat yang setia dan keturunannya berasal daripada kabilah al-Azd. Nama penuhnya ialah Abd al-Rahman ibn Shakr al-Dawsiy. Dia dibesarkan dalam keadaan yatim pada zaman Jahiliah. Yang pasti, dia memeluk Islam melalui al-Tufayl ibn Amru al-Dawsiy yang datang menemui Rasulullah SAW. Sebelum Hijrah, Abu Hurayrah r.a. bersama-sama kaum kerabatnya yang memeluk Islam tidak bergabung dengan Rasulullah SAW melainkan setelah tamat pembukaan Khaybar. Abu Hurayrah datang dengan 80 orang kabilah Daws yang memeluk Islam. Kebetulan kedatangan mereka ketika orang Muhajirin baru kembali dari Habsyah, yang diketuai oleh Jafar ibn Abi Talib r.a. Rasulullah SAW meraikan mereka dengan memberikan sebahagian harta rampasan Khaybar. Abu Hurayrah sentiasa mendampingi Rasulullah SAW dan menjadi ketua ahli al-Suffah di Masjid Nabawi. |