Shafii, al- (150204 H./767820 M.), pengasas mazhab Syafii. Nama penuhnya ialah Muhammad ibn Idris ibn al-Abbas ibn Uthman ibn Shafii al- Quraisy ibn Abd al-Muttalib ibn Abd al-Manaf. Dia juga dikenali juga sebagai Imam Syafii. Dia dinisbahkan kepada Shafii hingga dikenali sebagai al-Shafii. Ada juga yang menasabkannya kepada Abd al-Muttalibiy dan dikenali sebagai al-Muttalibiy. Terdapat pula pendapat yang menasabkan al-Shafii kepada Makkah, tanah kelahiran bapa, datuk dan neneknya lalu dikenali sebagai al-Makkiy. Namun, gelaran yang pertama, al-Shafii lebih terkenal. Al- Shafii lahir di bandar Gaza di Palestin. Bapanya, Idris berpindah ke sana meninggalkan Makkah semata- mata untuk melihatnya. Namun bapanya meninggal dunia semasa ibunya sedang hamil. Selepas ibunya melahirkannya dan menetap selama dua tahun di Gaza, mereka berpindah ke Makkah. Di Makkah, al- Shafii menghafal al-Quran semasa berusia tujuh tahun dan menghafaz kitab al-Muwatta ketika berusia 10 tahun. Dia sering bergaul dengan kabilah Huzayl, iaitu antara kabilah Arab yang terbaik dari segi kefasihan bahasanya dan dia banyak mendapat manfaat daripada pergaulan ini dengan menghafal syair-syair serta perumpamaan Arab daripada mereka. Al-Shafii mempelajari fiqh Maliki daripada Imam Malik sendiri. Di samping itu, dia turut berguru dengan Sheikh Masjidilharam yang juga muftinya, iaitu Muslim ibn Khalid al-Zanjiy yang meninggal dunia pada tahun 180 H. dan Sufyan ibn Uyaynah al-Hilaliy yang meninggal dunia pada tahun 198 H. serta beberapa tokoh ulama lain. Kemudian dia berhijrah ke Yaman kerana menerima satu jawatan yang ditawarkan oleh Masab ibn Abdullah al-Quraisy, kadi Yaman. Seterusnya dia berhijrah pula ke Iraq pada tahun 184 H. Dia belajar daripada ulama di Iraq dan ulama Hijaz pula mengambil ilmu daripadanya. |