Pokok daun luruh ialah nama bagi mana-mana pokok yang daunnya luruh pada masa tertentu setiap tahun dan kemudian tumbuh daun baru. Di kawasan sederhana di utara, kebanyakan pokok daun luruh gugur daunnya pada musim luruh. Ranting dan dahan akan tinggal gondol sepanjang musim sejuk. Pada musim bunga berikutnya, tumbuh daun baru berwarna hijau pada pokok. Sebelum daun mati, bahan makanan yang terkandung dalam daun diserapkan semula kepada ranting dan dahan. Di situ, ia disimpan dan digunakan pada musim bunga berikutnya. Pokok daun luruh biasanya mempunyai daun yang lebar. Pokok demikian termasuk ash, bic, birch, mapel dan oak. Pokok larch adalah pokok daun luruh yang biasa yang mempunyai daun jejarum. |