Rabies atau penyakit anjing gila ialah penyakit berjangkit yang memusnahkan sel saraf di bahagian tertentu otak dan selalunya mengakibatkan kematian. Manusia dan kebanyakan mamalia lain boleh menghidap penyakit ini. Perkataan rabies dalam bahasa Latin bermakna kemarahan atau keberangan. Penyakit ini mungkin diberikan nama sedemikian kerana haiwan yang dijangkiti sering kali menjadi gila dan menyerang sebarang objek atau haiwan lain yang berada di hadapannya. Oleh sebab salah satu gejala penyakit rabies ialah ketidakupayaan menelan air; penyakit ini juga dikenali sebagai hidrofobia yang bermaksud takut air. |