Orang Helvetia ialah ahli suku kaum yang pernah tinggal di satu tempat yang terletak di barat daya Switzerland kini. Suku kaum Jermanik mengancam orang Helvetia, dan sejumlah 263 000 orang Helvetia cuba berpindah ke wilayah Rom di Gaul pada tahun 58 S.M. Tentera Julius Caesar membunuh ramai orang Helvetia, dan mereka yang terselamat dipaksa pulang. Semasa di bawah pemerintahan Maharaja Augustus antara tahun 27 S.M. hingga tahun 14 M., kerajaan Rom menawan seluruh Switzerland. Orang Helvetia pula mula menerima pakai adat Rom dan bahasa Latin. Kadang-kadang penduduk di barat Switzerland yang berbahasa Perancis merujuk kawasan mereka sebagai Helvetia. |