Seni khat ialah seni tulisan huruf Jawi yang mengandungi nilai keindahan dan gaya estetik. Seni khat dibentuk menjadi memanjang, memendek, membulat, membujur, merentang, menegak, bersegi, condong dan sebagainya. Ayat- ayat al-Quran, hadith-hadith nabi dan kata-kata hikmat sering kali dipetik dan dijadikan penulisan khat. Keindahan seni khat bukan sahaja dirakamkan atas kertas seperti tulisan al-Quran, kitab dan surat tetapi juga atas kain, kulit, logam, tembikar, kaca, batu nisan, kayu, mimbar, mahkota dan plastik. Seni khat ini boleh dirakamkan dalam bentuk sulaman, anyaman, tekatan, lukisan, dan sebagainya. Penemuan terawal seni khat di Malaysia ialah yang terdapat pada batu bersurat Terengganu pada tahun 1303. |