Terumbu Sawar Besar ialah kelompok terumbu karang yang terbesar di dunia. Terumbu ini menganjur di sepanjang pantai timur laut Australia (lihat Australia [peta rupa bumi]). Terumbu Sawar Besar bukan sawar berterusan tetapi terdiri daripada beribu-ribu terumbu berasingan yang bertaburan. Terumbu tersebut telah tersenarai dalam Senarai Khazanah Dunia yang disusun oleh UNESCO (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) kerana saiznya yang unik dan tumbuh-tumbuhan dan ikannya yang pelbagai. Hampir kesemua terumbu di perairan Australia kini terletak dalam Taman Marin Terumbu Sawar Besar, iaitu taman marin terbesar di dunia. Kawasannya seluas lebih kurang 350 000 kilometer persegi. |