Terracotta ialah sejenis barang tembikar yang keras dan tahan lama. Seperti barang tembikar yang lain, terracotta dibuat daripada sejenis tanah liat yang dibakar. Warnanya berbagai-bagai, iaitu daripada warna kuning pucat dan warna coklat hinggalah kepada berbagai-bagai warna merah. Terracotta biasanya tidak diglis. Terracotta digunakan dengan meluas untuk membuat pasu bunga, air pancut, jubin, hiasan seni bina, dan arca hiasan taman. Oleh sebab terracotta mudah dibentuk, ramai pengarca menggunakannya untuk membuat model awal. Terracotta berkembang pada zaman prasejarah. Orang Yunani dan Rom purba menggunakan bahan ini untuk membuat objek hiasan, di samping talang, paip, dan bahan binaan lain. Perkataan terracotta berasal daripada perkataan Itali yang bermaksud tanah masak. |