Orang Viking merupakan kaum pelaut yang bangkit untuk menguasai utara Eropah pada zaman pertengahan. Sejarah cenderung menggambarkan mereka sebagai pahlawan dan lanun bengis yang mengganas di Eropah sejak akhir tahun 700-an hingga kira-kira tahun 1100. Walau bagaimanapun, pada ketika itu kelasi Viking yang berani juga menjelajah Lautan Atlantik Utara malah hingga ke Amerika. Tindakan rompakan di laut dan penjelajahan mereka ini telah menyebabkan zaman ini dinamakan Zaman Viking dalam sejarah Eropah. Sungguhpun demikian, orang Viking juga merupakan pelukis, pencerita dan juga penyair yang mempunyai bakat semula jadi. |