Tanah bencah ialah sebuah kawasan tanah yang aras airnya kekal hampir atau di atas permukaan tanah selama hampir sepanjang tahun. Tanah bencah meliputi kira-kira enam peratus daripada permukaan tanah bumi. Ia menampung pelbagai jenis haiwan dan kehidupan tumbuh-tumbuhan dan merupakan satu daripada ekosistem dunia yang paling produktif (subur) dari segi biologi. Tanah bencah pantai, muara dan kukup ialah tempat bertelur dan pembiakan yang penting bagi ikan dan kerang-kerangan. Tanah bencah juga berupaya menyaring keluar keseluruhan pencemaran dalam air seperti virus daripada kerja kumbahan atau logam berat daripada loji industri. |