Sirocco ialah nama Itali bagi angin panas yang bertiup ke arah utara dari Gurun Sahara atau Gurun Arab yang panas dan kering. Tiupan angin ini kerap berlaku semasa musim bunga di negara Eropah, di bahagian utara Laut Mediterranean. Angin sirocco mungkin membawa bersamanya lembapan semasa melintasi Laut Mediterranean dan tiba di pantai Eropah sebagai angin yang panas dan lembap. Semasa bertiup ke arah utara, angin ini menghasilkan kabus dan hujan. Kadangkala angin ini membawa bersamanya debu gurun. Apabila angin sirocco yang kering bertiup, butir pasir yang halus menjadikan langit gelap. Angin ini menyebabkan selaran matahari pada kulit dan mengeringkan tekak. Istilah sirocco kadangkala digunakan untuk merujuk kepada apa-apa angin panas yang tidak bermusim yang bertiup dari selatan di kawasan Mediterranean. |