Sungai Ganges ialah jalan air yang terbesar di India dan salah satu sungai yang terpanjang di dunia. Sungai ini sangat penting kepada rakyat India kerana peranannya dalam agama Hindu. Orang Hindu menganggap sungai itu sebagai sungai yang paling suci di India. Setiap tahun, beribu-ribu penganut Hindu berkunjung ke bandar suci seperti Varanasi dan Allahabad di sepanjang tebing Sungai Ganges untuk mandi-manda dan membawa pulang airnya. Kuil dan ghat (anak tangga) yang menuju ke sungai didirikan di tebing sungai itu. Sesetengah penziarah datang untuk mandi-manda di sungai itu semata-mata untuk menyucikan diri daripada dosa. Mereka yang sakit dan cacat datang dengan harapan sentuhan air itu dapat menyembuhkan penyakit. Terdapat juga yang datang kerana mahu mati di sungai itu. Mengikut kepercayaan Hindu, sesiapa yang mati di Ganges akan dimasukkan ke syurga. Nama sungai ini dalam bahasa Hindu, bahasa utama orang India, ialah Ganga. |