Tamayo, Rufino (18991991) ialah pelukis Mexico yang penting. Dia dikenali kerana caranya melukis bentuk manusia, haiwan dan alam benda yang berani dan berwarna terang. Tamayo melukis dengan cara separa abstrak, dengan mengherot-benyotkan bentuk supaya kelihatan penuh perasaan. Lukisannya menggambarkan pengaruh budaya rakyat, sejarah dan landskap Mexico. Berbeza dengan pelukis-pelukis terkenal Mexico yang lain yang seangkatan dengannya, Tamayo jarang menekankan nasionalisme atau ideologi politik. Tamayo lahir di Oaxaca, Mexico. Semasa awal tahun 1920-an, dia bekerja melakar arca purba Orang Asli Amerika untuk National Museum of Anthropology di Mexico City. Pada tahun 1930-an dan awal tahun 1940-an, gayanya telah bertukar kerana dipengaruhi oleh pendedahannya kepada hasil kerja pelukis moden dari Eropah, seperti Georges Braque, Joan Miró dan Pablo Picasso. Bermula pada tahun 1970, lukisan Tamayo menjadi lebih abstrak dan berfalsafah, dan sering meneroka hubungan manusia dengan alam semesta. |