Surah al-Hijr ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-15 mengikut susunan surah-surah al-Quran dan mengandungi 99 ayat. Surah ini dinamakan dengan al-Hijr kerana Allah S.W.T. menyebut tentang apa yang berlaku terhadap kaum Salih, iaitu kabilah Thamud, serta rumah mereka yang terletak di Hijr, iaitu antara Madinah dan Syam. Mereka ini adalah orang yang gagah, dan mampu mengukir gunung sehingga boleh dijadikan rumah kediaman. Mereka merasakan seolah-olah akan terus hidup kekal, tanpa ditimpa kebinasaan dan kematian. Ketika mereka berada dalam keadaan aman dan tenang, tiba-tiba mereka ditimpa azab yang dahsyat di waktu hening pagi. |