| Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
| Tajuk: Permohonan Kelulusan Bahasa Untuk Bunting " Tanah Untuk DiJual" Salam sejahtera. Saya ingin memohon kelulusan daripada pihak DBP bagi bunting iklan "Tanah Untuk Dijual" yang akan dipasang di Jelebu, Negeri Sembilan. Mohon panduan cara serahan artwork untuk semakan dan dokumen sokongan yang diperlukan. Terima kasih. Kerjasama dan maklum balas pihak tuan/puan amat saya hargai. Sekian, terima kasih. Yang benar, IRIES LAI 012-2730805 emel: irieslai@gmail.com | 1. Permohonan pengesahan bahasa Melayu dalam iklan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web dbpsahbahasa.my. Sila Daftar Akaun (rujuk Panduan Pendaftaran) dan aktifkan akaun. Log masuk setelah akaun diaktifkan. Pilih DAFTAR PERMOHONAN > DAFTAR IKLAN, isi maklumat permohonan (rujuk Panduan Pelanggan), Jenis iklan: Papan premis kedai/pejabat/syarikat (atau yang berkaitan), pilih PBT dan klik “Sah”. Pastikan Jumlah bayaran menjadi RM10.00 atau RM30.00 bergantung kepada jenis iklan yang dipilih. Muat naik visual iklan mengikut format, klik SIMPAN. Makluman Tahniah Pendaftaran Iklan XXX Berjaya akan dipaparkan. Sila buat bayaran setelah menerima makluman tersebut supaya iklan dapat diproses. Pembetulan pada visual papan iklan: Betulkan simbol & kepada ejaan penuh, dan Apakah yang dimaksudkan dengan Air dan Elektrik? Sila masukkan maklumat lengkap dalam papan iklan | Lain-lain | 29.08.2025 |
| Salam. Saya merupakan salah seorang pelajar universiti dan saya ingin memohon untuk sumbangan dan tajaan bersama untuk program terkemuka di universiti saya. Organisasi juga berminat untuk berkolaborasi berikutan dengan program yang dianjurkan ini berteraskan bahasa melayu. Bolehkah untuk saya mendapatkan emel dan nombor yang boleh dihubungi untuk permohonan sumbangan dan tajaan ini. | Untuk bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, sila e-melkan permohonan kerjasama kepada Ketua Pengarah DBP melalui e-mel hazami@dbp.gov.my dan salinan kepada (cc) dina@dbp.gov.my. | Lain-lain | 14.01.2025 |
| Apakah perbezaan untuk,agar dan supaya? Bilakah keadaan yang sesuai untuk menggunakan perkataan-perkataan tersebut? | “Untuk” merupakan kata sendi nama yang bermaksud ditentukan atau disediakan bagi sesuatu. Keadaan yang sesuai untuk menggunakan “untuk”, apabila kata sendi nama ini digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, dengan fungsi tertentu seperti menunjukkan kegunaan untuk sesuatu dan menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan. “Agar” dan “supaya” merupakan kata hubung pancangan keterangan yang bermaksud supaya dan semoga. Keadaan yang sesuai untuk menggunakan “agar” dan “supaya” apabila berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), hlm. 253 dan 276. | Tatabahasa | 21.08.2025 |
| Pilihan perkataan yang mana lebih tepat untuk ayat-ayat berikut? 1. Daftar sekarang untuk nikmati / menikmati kadar rendah 2. Ikuti arahan di skrin untuk lengkapkan / melengkapkan permohonan 3. Klik sini untuk ketahui / mengetahui cara yang lebih tepat. | Ayat yang betul dan sesuai digunakan adalah seperti yang berikut: 1. Daftar sekarang untuk menikmati kadar yang rendah. 2. Ikuti arahan di skrin untuk melengkapkan permohonan. 3. Klik di sini untuk mengetahui cara yang lebih tepat. | Tatabahasa | 06.09.2024 |
| Saya ingin bertanya adakah ayat ini benar? "Untuk pengetahuan Tuan/Puan, sebuah bas luar akan memasuki kawasan sekolah untuk menghantar dan mengambil peserta. Sehubungan dengan itu, kami ingin memaklumkan dan memohon jasa baik pihak Tuan/Puan untuk memberi kebenaran pergerakan peserta yang menaiki bas tersebut." Terima kasih. | Berdasarkan contoh yang diberikan, ayat tersebut perlu ditambah baik seperti yang berikut: "Untuk pengetahuan tuan dan puan, sebuah bas akan memasuki perkarangan sekolah untuk menghantar dan mengambil peserta. Sehubungan dengan itu, kami memohon jasa baik pihak tuan dan puan untuk memberi laluan kepada peserta yang menaiki bas tersebut." Frasa “Untuk pengetahuan tuan dan puan” juga boleh ditukar kepada “Untuk makluman hadirin”, bergantung pada penggunaan konteks ayat. | Tatabahasa | 09.10.2025 |
| Adakah perkataan "suri rumah" boleh digunakan untuk lelaki? Sekiranya tidak boleh, adakah terdapat istilah lain yang digunakan untuk "house husband" atau "stay-at-home husband"? Sekiranya belum ada istilah khusus, apakah istilah yang pihak DBP boleh cadangkan untuk digunakan? Terima kasih. | Untuk makluman tuan, belum ada padanan istilah bahasa Melayu untuk house husband. Cadangan padanan bahasa Melayu bagi istilah house husband ialah nara rumah. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaannya dalam bidang tertentu. | Istilah | 30.10.2025 |
| Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apakah perbezaan skrip dan manuskrip? Bolehkah "skrip" digunakan untuk menggantikan penggunaan "manuskrip" untuk merujuk karya yang belum terbit? Terima kasih | Mengikut Kamus Dewan Perdana (2021), skrip mempunyai dua maksud, iaitu 1. Cerita, maklumat dan sebagainya bagi kategori tertentu seperti drama, filem, dokumentari dan sebagainya yang ditulis atau ditaip, mengandungi tema, watak, dialog, penceritaan latar dan sebagainya; 2. Dokumen yang merupakan bukti hak milik terhadap saham yang dikeluarkan oleh pendaftar syarikat masing-masing. Manuskrip pula ialah 1. Karangan, tulisan dan sebagainya yang bertulis tangan; 2. Karya yang bertulis tangan atau bercetak yang telah disediakan oleh penulis, editor dan sebagainya untuk diterbitkan. Skrip tidak boleh digunakan untuk menggantikan penggunaan manuskrip untuk merujuk karya yang belum terbit. | Lain-lain | 27.11.2024 |
| Mengapakah soalan saya belum dijawab, sangat lamanya! | Mohon maaf atas kelewatan pihak kami memberikan maklum balas. Untuk makluman tuan, untuk soalan-soalan yang memerlukan penelitian dan rujukan, pihak DBP memerlukan sedikit masa untuk menjawabnya. Walau bagaimanapun, boleh kami dapatkan soalan yang ditanya oleh pihak tuan? Tuan boleh menghantarkan soalan tersebut kepada e-mel fadhilahbahar@dbp.gov.my dan cc kepada afiqah@dbp.gov.my. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 21.02.2025 |
| 1...dicadangkan untuk dimasukkan dalam penggubalan draf Rang Undang Undang (RUU)... atau .dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam penggubalan draf Rang Undang Undang bagaimana ingin membezakan penggunaan ke dalam dan dalam? | Frasa yang betul ialah “….dicadangkan untuk dimasukkan dalam penggubalan draf Rang Undang-undang”. Frasa "ke dalam" digunakan untuk kata nama atau frasa nama yang menunjukkan pergerakan kepadanya, seperti menyimpan kuih ke dalam bekas manakala “dalam” hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak, seperti bertutur dalam bahasa kebangsaan. Rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015) halaman 285 untuk penerangan lanjut. | Tatabahasa | 12.05.2024 |
| Untuk karangan autobiografi seperti Aku sebuah komputer, perlukah perkataan aku tulis dalam huruf besar (Aku) dalam karangan walaupun bukan perkataan pertama dalam ayat? Contohnya, adakah Tuan aku sangat menyayangi aku atau Tuan Aku sangat menyayangi Aku yang betul? Terima kasih. | Perkataan “aku” ditulis dalam huruf kecil kerana perkataan ini merujuk kepada kata ganti diri pertama. Ayat yang betul ialah “Tuan aku sangat menyayangi aku”. | Lain-lain | 24.09.2024 |