Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Bagaimana cara untuk menjadi penulis buku kanak-kanak? Tolong beri tunjuk ajar. Terima kasih. | Untuk memberi tunjuk ajar di halaman yang begini adalah sukar. Saudara disarankan supaya mengikuti kursus penulisan karya kreatif yang sering dianjurkan oleh persatuan penulis. Sila hubungi persatuan penulis yang berdekatan dengan saudara untuk mendapatkan keterangan lanjut. Saudara juga boleh menghubungi KEPEZI yang diketuai oleh Puan Zaharah Nawawi seorang penulis wanita mapan Malaysia. Radio IKIM juga kadangkala mengendalikan kursus penulisan kreatif. Selamat mencuba dan berjaya. Andainya saudara mempunyai manuskrip cerita kanak-kanak hantarkanlah kepada Ketua, Pusat Penyelidian dan Pengembangan Sastera Kanak-kanak (PURNAMA), Dewan Bahasa dan Pustaka, 50926 Kuala Lumpur sekiranya saudara mahu Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan karya saudara. | Lain-lain | 14.02.2010 |
Ibu bapa perlu lebih pritatin terhadap anak-anak. Contohnya sabar memberi tunjuk ajar . adakah ayat kedua merupakan ayat tergantung? adakah ayat sebegini diterima dalam penulisan pmr? terima kasih | Ayat yang betul ialah ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap anak-anak, contohnya sabar memberi tunjuk ajar. | Tatabahasa | 21.01.2010 |
Apakah perbezaan perkataan 'menasihati' dan 'menasihatkan' dari segi penggunaan? | Menasihati bermaksud memberi nasihat (tunjuk ajar dan sebagainya) kepada: Guru menasihatinya supaya memulangkan barang yang dicuri itu kepada tuannya, manakala menasihatkan bermaksud memberikan sesuatu sebagai nasihat atau sebagai tunjuk ajar, contohnya: Sia-sia sahaja menasihatkan budak-budak yang tidak berakhlak itu. | Tatabahasa | 02.03.2011 |
Salam! Saya berminat untuk menjadi Penerbit Kecil dan mengharapkan tunjuk ajar dari pihak DBP. Bagaimana harus saya bermula? Modal yang diperlukan? Bidang penulisan yang menepati pasaran semasa? Dan lain-lain khidmat nasihat yang perlu saya perolehi? Sekian, terima kasih. | Salam! Saya berminat untuk menjadi Penerbit Kecil dan mengharapkan tunjuk ajar dari pihak DBP. Bagaimana harus saya bermula? Modal yang diperlukan? Bidang penulisan yang menepati pasaran semasa? Dan lain-lain khidmat nasihat yang perlu saya perolehi? Sekian, terima kasih. Tuan perlu memahami apa itu penerbitan. Penerbitan terbahagi kepada penerbitan buku, Majalah, Kamus dan lain-lain. Kemudian apabila mengaetahui selok belok penerbitan baharulah tuan menubuhkan syarikat penerbit. Mendapatkan maklumat jumlah modal yang perlu kerana syarikat yang ditubuhkan perlukan a) modal pusingan b) kakitangan c) pejabat dan d) overhed (talian telefon, api, air ,sewa, promosi dan pengangkutan). Membuat perancangan penerbitan seperti membuat perolehan manuskrip (mencari penulis yang boleh menulis skrip) menentukan bidang buku yang hendak diterbitkan dan buku peringkat apa yang hendak diterbitkan sama ada peringkat kanak-kanak, remaja atau dewasa. Juga peringkat pengajian tinggi (Buku Ilmiah) atau buku fiksyen seperti novel dan cerpen atau buku rujukan seperti ensiklopedia. Untuk mendapatkan ilmu penerbitan perlu dicari dan banyak berbincang dengan rakan penerbit. | Lain-lain | 23.07.2009 |
Ingin meminta tunjuk ajar bagaimana untuk menerangkan kepada murid sekolah rendah cara menggunakan kata penegas dalam ayat. | Kata penegas ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Terdapat dua jenis kata penegas, iaitu pertama yang menegaskan hanya frasa predikat, contohnya -kah, -tah dan -lah; dan kedua yang menegaskan subjek dan predikat ayat, contohnya juga, jua dan pun. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 261. | Tatabahasa | 18.04.2013 |
salam sejahtera, sila beri tunjuk ajar berkenaan soalan di bawah, "........ berkenan menerima Datuk menghadap," kata pegawai istana itu kepada Datuk Temenggung. jawapannya, A. Patik B. Tuanku C. Beta D. Beliau jawapan yang diberi ialah B. Tuanku tetapi, mengikut definasi Kamus Dewan, tuanku bermaksud, " yang mulia (digunakan apabila bercakap dgn raja); kata ganti diri kedua bagi raja atau sultan." Pada pendapat saya, kata ganti diri ketiga patut diguna, yakni Baginda | "Tuanku berkenan menerima Datuk menghadap," kata pegawai istana itu kepada Datuk Temenggung kerana tuanku ialah kata ganti nama diri ketiga dalam ayat tersebut. Pegawai istana - kata ganti nama diri pertama, Temenggung - kata ganti nama diri kedua dan Tuanku - kata ganti nama diri ketiga. | Tatabahasa | 21.09.2012 |
Bolehkan pihak DPB memberi tunjuk ajar kepada saya bagaimana tatacara / panduan untuk menulis glosari? | Glosari bertujuan memberikan penjelasan kepada pembaca tentang istilah yang mungkin tidak difahami oleh pembaca mengikut konteks dalam penulisan itu sendiri. Glosari ditulis selepas akhir bab, dengan mengutip istilah dalam hasil penulisan dan menjelaskannya mengikut konteks, berdasarkan apa yang dimaksudkan penulis, yang boleh digabungkan dengan rujukan. | Lain-lain | 14.01.2010 |
Terima kasih kerana memberikan tunjuk ajar tentang penggunaan perkataan fata morgana. Jika saya membetulkan konteks ayat kepada ayat demikian. Kita mesti mengamalkan amalan suka membaca. Dengan ini, matlamat menjadikan Malaysia sebagai masyarakat yang berilmu tidak menjadi fata morgana | Untuk makluman sdri Hui, ejaan fatamorgana dirapatkan bukan dijarakkan menjadi dua perkataan. Fatamorgana bermaksud sesuatu yang bersifat khayalan. Sdri Hui telah membina dua ayat tunggal. Walau bagaimanapun, dalam tatabahasa bahasa Melayu, pembentukan ayat sdri boleh digabungkan dengan memasukkan kata hubung " supaya" menjadi ayat majmuk keterangan(rujuk Buku Tatabahasa Dewan hlm 514-515) ayat sdri boleh ditulis seperti yang berikut: (1) Kita mesti mengamalkan budaya suka membaca supaya matlamat menjadikan Malaysia sebagai masyarakat yang berilmu tidak menjadi fatamorgana semata-mata. atau (2) Kita mesti mengamalkan budaya suka membaca supaya matlamat menjadikan Malaysia sebagai masyarakat yang berilmu tidak menjadi khalayan semata-mata. Untuk makluman sdri Hui, penambahan kata supaya merupakan kata keterangan harapan, yang berfungsi menerangkan sesuatu perbuatan yang dihajati atau diharapkan. | Tatabahasa | 25.02.2009 |
Salam sejahtera, Saya ingin meminta tunjuk ajar dalam penggunaan kata sendi nama "akan". Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008;282), kata sendi nama "akan" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Persoalan saya, adakah kata sendi nama "akan" oleh digunakan sekiranya rujukan dalam sesuatu ayat (kata nama/frasa nama) bukan merujuk manusia? Contoh 1: Raksasa itu takut akan bunyi letupan. Adakah penggunaan "akan" dalam contoh ayat 1 betul? Sekian, terima kasih. | Ayat contoh yang saudara berikan, Raksasa itu takut akan bunyi letupan adalah betul. Binaan ayat terdiri daripada subjek (raksasa itu) + predikat (frasa adjektif), rumus frasa adjektif (kata adjektif + kata sendi nama + kata nama), iaitu takut (kata adjektif) + akan (kata sendi nama) + bunyi (kata nama). Contoh yang lain, Badannya lemah dengan tiba-tiba - kata sendi nama dengan. Saudara perlu melihat ayat tersebut dari aspek binaan ayat frasa adjektif (lihat halaman 414, Tatabahasa Dewan) dan jangan dikaitkan dengan fungsi kata sendi nama "akan" dengan kata adjektif yang bersifat emotif. | Tatabahasa | 16.10.2011 |
Salam sejahtera. Saya ingin meminta tunjuk ajar daripada pihak tuan/puan berkenaan penggunaan perkataan "tentang" dan "mengenai". Dalam ingatan saya semasa dalam bangku sekolah, guru saya memberitahu saya bahawa "mengenai" tidak sama dengan "tentang" yang bermaksud "regarding to" dalam bahasa Inggeris. Boleh pihak tuan/puan menjelaskan kepada saya sama ada penggunaan kedua-dua perkataan tersebut telah disamakan pada masa sekarang? Terima kasih. | Saudara, Kata sendi nama 'tentang' boleh ditukar ganti dengan kata 'mengenai' dan digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum atau mujarad. Kata nama atau frasa nama yang mengikutinya menjadi hal yang diperlakukan atau dibicarakan. Sila rujuk maklumat terkini tentang penggunaan bahasa dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 08.08.2010 |