Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Salam. Saya ingin tahu tentang penggunaan perkataan tetapi. Bolehkah tetapi digunakan di hadapan ayat? Terangkan cara penggunaan tetapi dalam beberapa ayat majmuk? Apakah perbezaan tapi dan tetapi? Terima kasih. | Kata hubung tetapi tidak boleh diletakkan pada permulaan ayat kerana kata hubung tersebut bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk ayat yang berlapis, yang dikenali sebagai ayat majmuk. Kata tapi digunakan dalam bahasa percakapan dan dalam penggunaan rasmi yang betulnya ialah tetapi. | Tatabahasa | 11.12.2010 |
Penggunaan 'tetapi' | Tetapi ialah kata hubung gabungan contoh:Ahmad lulus ujian itu tetapi adiknya gagal. | Tatabahasa | 28.06.2011 |
1. Bagaimanakah membezakan penggunaan kata hubung tetapi dan manakala. 2. Antara ayat yang berikut, yang manakah betul penggunaan kata hubung tetapi dan manakala? a. Abu suka makan roti canai tetapi saya suka makan piza. b. Abu suka makan roti canai manakala saya suka makan piza. 3. Ada pendapat yang menyatakan kata hubung tetapi digunakan untuk pelaku yang sama sahaja. Contohnya: a. Budak itu pandai tetapi pemalas. b. Dia pemarah tetapi hatinya baik Adakah pendapat ini betul? | 1. Perkataan tetapi digunakan untuk menyatakan hal yang berlawanan atau bertentangan, seperti ayat: Budak itu pandai tetapi malas. Perkataan manakala pula membawa banyak maksud, iaitu 1. apabila, bilamana; 2. tetapi; dan 3. sedangkan. Perkataan manakala boleh dibezakan apabila membawa maksud pertama dan ketiga. 2. a. Abu suka makan roti canai tetapi saya suka makan piza. b. Abu suka makan roti canai manakala saya suka makan piza. - kedua-dua ayat ini betul 3. Perkataan tetapi digunakan untuk menyatakan hal yang berlawanan dalam ayat majmuk gabungan. Tidak ada maklumat dalam buku Tatabahasa Dewan mensyaratkan hal yang berlawanan itu digunakan untuk pelaku yang sama. b. Dia pemarah tetapi hatinya baik - dari aspek tatabahasanya ayat ini adalah betul, tetapi kurang tepat dari aspek makna. | Tatabahasa | 12.05.2011 |
Salam sejahtera, Sejauh pengetahuan saya, "tetapi" tidak boleh digunakan pada pangkal ayat kerana "tetapi" ialah kata hubung gabungan yang berfungsi untuk menggabungkan frasa dengan frasa. Namun demikian, ia boleh digunakan pada pangkal ayat sekiranya perkataan "tetapi" itu dihadiri dengan perkataan "akan", yakni menjadi "Akan tetapi. Apakah sebabnya? Apakah fungsi "akan" dalam konteks ini? Mohon beri tunjuk ajar. Terima kasih. | Akan tetapi sebagai kata hubung boleh wujud di permulaan ayat dan lazimnya akan berfungsi sebagai kata sendi, tetapi boleh juga menjadi kata bantu (lihat pada keseluruhan ayat). | Tatabahasa | 03.06.2010 |
tetapi bagaimana pula dengan bekas tisu yang berwarna cokelat untuk toilet roll itu ya? | Puan, Sila kemukakan semula pertanyaan puan dengan jelas. | Lain-lain | 24.05.2010 |
Gabungkan 2 ayat tunggal dengan kata hubung yang diberi. 1)Mereka tidak menaiki bas. Mereka berjalan kaki.(tetapi) a)Mereka tidak menaiki bas tetapi berjalan kaki. b)Mereka berjalan kaki tetapi tidak menaiki bas. Adakah kedua-dua jawapan boleh diterima? | Ayat yang betul ialah "Mereka tidak menaiki bas tetapi berjalan kaki." | Tatabahasa | 09.10.2013 |
Salam sejahtera. Bolehkah 'tetapi' digunakan pada pangkal ayat? Contoh: Dia suka melawan kata ibunya. Tetapi, ibunya tidak marah akannya. Adakah penggunaan penanda wacana 'akan tetapi' lebih sesuai? Sekian, terima kasih. | penanda wacana yang dicadangkan ialah namun dalam ayat contoh ini. | Tatabahasa | 08.07.2010 |
a) "Saya tahu Datuk berpangkat besar, tetapi Datuk fikirlah tentang masa depan Hanna." b) "Saya tahu datuk berpangkat besar, tetapi datuk fikirlah tentang masa depan Hanna." | a) "Saya tahu Datuk berpangkat besar, tetapi Datuk fikirlah tentang masa depan Hanna." - untuk Datuk yang bergelar. b) "Saya tahu datuk berpangkat besar, tetapi datuk fikirlah tentang masa depan Hanna." - untuk panggilan seperti datuk, nenek dan sebagainya. | Ejaan | 31.10.2011 |
pada tarikh 23/03/2012 saya ada menghantar email untuk pengesahan bahasa untuk lesen iklan papan tanda untuk DBKL, dan telahpun lulus, terima kasih. tetapi baru-baru ini iaitu pada 03/05/2012 saya menghantar visual yang sama tetapi lain warna sahaja, tetapi tidak lulus..sila jelaskan kepada saya situasi sebenar... | Sila berikan nombor pendaftaran kedua-dua iklan tersebut supaya kami boleh semak sebab iklan tersebut tidak lulus. | Lain-lain | 09.05.2012 |
Assalamualaikum Tuan, Dari segi tatabahasa, bolehkah saya memulakan ayat dengan perkataan "Tetapi..." seperti dalam ayat berikut: Tetapi Ahmad disifatkan terlalu "bebas" dan dia dipecat kerana menulis tentang keburukan ketuanya. Salam & T. Kasih. | Kata hubung tetapi tidak boleh diletakkan pada permulaan ayat kerana kata hubung tersebut bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk ayat yang berlapis, yang dikenali sebagai ayat majmuk. | Tatabahasa | 26.11.2010 |