Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan mengguankan frasa (istilah) neka bahasa dalam beberapa banyak tulisannya secara tekal. KD4 neka Kl sj talam. Mohon komen ringkas. | Kata 'neka' bukan sahaja merujuk kepada makna yang saudara nyatakan bahkan kata 'neka' juga membawa makna 'aneka'. (Sila rujuk kamus bahasa Melayu Nusantara) | Makna | 09.01.2009 |
Apakah beza makna (jika ada) antara silih berganti dengan bersilih ganti? Atau adakah salah satu sahaja yang gramatis? [Ruang Khidmat nasihat digunakan secara yakin oleh pengguna seperti saya. Malangnya, terdapat percanggahan jawapan yang amat ketara antara jawapan-jawapan yang diberikan. Tidak tekal.] [Kedua, saya bertanya melalui Khidmat Nasihat ini dengan harapan dimuatnaikkan ke dalam ruang tersebut kerana belum ada "posting"/pertanyaan sedemikian. Hal ini dapat membantu pengguna lain jika dicari menerusi ruang itu kelak.] Sekian, terima kasih. | Kata 'silih berganti' dan 'bersilih ganti' mempunyai makna yang sama, iaitu bergilir-gilir atau berganti-ganti. Kedua-dua kata tersebut betul dan boleh digunakan sebagai pilihan. Untuk makluman saudara, kami berusaha untuk memantapkan jawapan dalam Arkib Khidmat Nasihat Bahasa. Oleh kerana jumlah soalan yang agak besar (mulai September 2006 hingga kini) kami memerlukan masa untuk memurnikannya. | Tatabahasa | 09.02.2011 |
Mengapakah teori "letupan besar" (big bang) tidak diberi huruf besar pada huruf "l" dan "b"? Bukankah teori ini nama khas, dan peristiwa "letupan besar" hanya berlaku sekali sahaja? Terima kasih. | Benar, dalam pangkalan data kami teori letupan besar dieja dengan huruf kecil. Walau bagaimanpun apabila merujuk khusus kepada teori Letupan Besar boleh dieja dengan huruf besar dan kami menganggapnya sebagai gaya penerbitan sesebuah organisasi. Dan ejaan tersebut harus tekal dalam keseluruhan wacana. | Ejaan | 13.03.2012 |
1. Apakah yang dimaksudkan dengan istilah frasa dan rangkai kata serta contoh-contohnya? 2. Apakah perbezaan dan persamaan antara kedua-duanya? | Frasa ialah kumpulan kata yang membentuk unit sintaksis sesuatu klausa dan rangkai kata ialah kelompok kata. Berdasarkan makna tersebut tidak ada perbezaan yang jelas antara kedua-dua kata tersebut. Bagi mengelakkan kekeliruan ada baiknya kita menggunakan salah satu daripada istilah tersebut secara tekal dalam satu-satu wacana. | Tatabahasa | 27.09.2011 |
Assalamualaikum tuan. Pengunaan 'majlis' yang merujuk kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya, adakah perlu huruf besar? Contohnya "anda tidak dibenarkan berniaga tanpa kebenaran Majlis" Yang kedua, Kiosk Taman Medan adalah nama khas jadi adakah ejaan kiosk itu boleh diterima sebagai betul kerana kios itu digabungkan dengan kata nama khas Taman Medan? | Jika menulis majlis sahaja sewajarnya dieja dengan huruf kecil. Walau bagaimanapun ada cara untuk kita menulisnya dengan huruf besar, iaitu dengan memaklumkan dalam ayat pertama ... Majlis Bandaraya Petaling Jaya (selepas ini disebut sebagai Majlis) ... maka selepasnya hanya dieja dengan Majlis dan penggunaan ini haruslah tekal dalam keseluruhan wacana. Jika telah didaftarkan sebagai Kiosk Taman Medan, maka ejaan tersebut diterima.
| Ejaan | 24.07.2012 |
1) Singkatan mana satu yang betul untuk Yang Berbahagia, a) YBhg. atau b) Ybhg. atau c) Ybhg (tanpa titik) 2) Perkataan "sama ada' atau 'samada" Terima kasih. | 1. Mengikut pedoman ejaan, ejaan yang betul ialah YBhg.. Walau bagaimanapun ejaan YBhg juga kini banyak digunakan, antara alasan yang diberikan termasuklah menyelaraskan ejaan YBhg dengan ejaan singkatan nama-nama pingat kebesaran seperti dalam buku Protokol di Malaysia. Hal ini lebih kepada gaya penulisan dan penerbit boleh mengikut gaya mana hendak diamalkan dengan syarat penulisannya mestilah tekal (tidak berubah-ubah) dalam keseluruhan teks dan wacana. 2. Ejaan yang betul ialah sama ada. | Ejaan | 02.03.2012 |
Cabaran dan kendala dalam usaha memperkasa dan memertabatkan bahasa Melayu | Pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi dalam negara merdeka seperti Malaysia yan sentiasa terbuka menerima sebarang bentuk kemajuan. Bahasa Melayu sebagai bahasa moden yang berkembang seiring dengan kemajuan dunia terdedah kepada pelbagai unsur yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada kualiti penggunaan bahasa Melayu. Namun apa yang penting ialah iltizam kita sebagai pengguna bahasa Melayu dan atas semangat mematuhi perlembagaan negara yang telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa perpaduan harus tekal memperkasakan bahasa Melayu. | Lain-lain | 27.07.2009 |
Tuan, sekarang didapati kebanyakan surat menyurat telah tidak lagi menggunakan tanda koma (,) dan noktah (.) di dalam alamat surat menyurat. Contohnya: Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Kelantan dan Terengganu Aras 6 Wisma Persekutuan Jalan Bayam 16100 Kota Bharu Apa yang saya belajar dahulu, apabila di setiap hujung lamat yang kita taip mesti dimasukkan tanda koma dan noktah. Apakah pendirian DBP sekarang? mana yang betul dan mana yang sebaliknya? Terima kasih. | Dari aspek bahasa penggunaan tanda koma dan noktah dalam alamat surat dikekalkan. Walau bagaimanpun Pos Malaysia tidak menggunakan tanda tersebut kerana alamat surat-menyurat ditulis dalam baris-baris berbeza. Cadangan kami, jika tuan mengekalkan tanda tersebut, penggunaannya harus lengkap (ada koma dan noktah) dan tekal pada semua alamat. | Lain-lain | 22.04.2012 |
Pohon bertanya, apa jawatan yang betul bagi YBhg? sebab ada jawan yang hat di arkib soalan ada mayatakan jawapan spt berikut: 1) Ejaan yang betul untuk kependekan Yang Berbahagia ditulis sebagai YBhg. (ada tanda titik) bukan YBhg; 2) Ejaan yang betul untuk kependekan Yang Berbahagia ditulis sebagai YBhg. (ada tanda titik) bukan YBhg Pohon penjelasan.Terima kasih. | Mengikut pedoman ejaan, ejaan yang betul ialah YBhg.. Walau bagaimanapun ejaan YBhg juga kini banyak digunakan, antara alasan yang diberikan termasuklah menyelaraskan ejaan YBhg dengan ejaan singkatan nama-nama pingat kebesaran seperti dalam buku Protokol di Malaysia. Hal ini lebih kepada gaya penulisan dan penerbit boleh mengikut gaya mana hendak diamalkan dengan syarat penulisannya mestilah tekal (tidak berubah-ubah) dalam keseluruhan teks dan wacana. | Tatabahasa | 21.05.2011 |
APAKAH TANGGUNGJAWAP DAN PERANAN UNTUK MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU? BAGAIMANAKAH IBU BAPA BOLEH MEMBANTU PROSES PEMERKASAAN BAHASA MELAYU DALAM SESEBUAH INSTITUSI KEKELUARGAAN? | Bahasa Melayu sebagai bahasa moden yang berkembang seiring dengan kemajuan dunia terdedah kepada pelbagai unsur yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada kualiti penggunaan bahasa Melayu. Namun apa yang penting ialah iltizam kita sebagai pengguna bahasa Melayu dan atas semangat mematuhi perlembagaan negara yang telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa perpaduan harus tekal memperkasakan bahasa Melayu. Rasa sayang kita terhadap bahasa kebangsaan harus sentiasa dipupuk malah diterapkan dalam institusi keluarga seperti mengamalkan penggunaan bahasa yang betul (mengikut situasi) dalam kalangan keluarga, jika kita berbahasa dengan betul bermakna kita menjaga adab dan susila hidup berkeluarga. Untuk maklumat lanjut, rujuk makalah yang berkaitan dalam konteks perbincangan ini. | Tatabahasa | 27.08.2010 |